Jodoh Robert Douglas Friend atau nama glamernya Rob Friend bersama bolasepak Malaysia mencapai pengakhiran anti-klimaks setelah dia ditamatkan kontrak berkuatkuasa pada 1 Jun lalu, seperti diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis.
Dia dilantik atas satu visi, satu impian – merevolusikan bolasepak Malaysia seterusnya membawa Harimau Malaya ke satu aras yang jauh lebih tinggi namun pergi dengan menghadiahkan malapetaka besar yang mencalar maruah dan nama Malaysia secara total.
FAM tidak menyatakan punca Rob Friend ditamatkan kontrak, namun seluruh warga bolasepak boleh menduga ia berkait rapat dengan kontroversi pemain warisan palsu dan kegagalan menepati ikrar yang dilaungkan ketika mengambil peranan sebagai CEO Malaysia National Team (NT).
Kini dengan penamatan kontrak Rob Friend juga, kata-kata pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang pernah menyatakan kesediaan menerima Rob Friend jika Malaysia sudah tidak mahu menggunakan khidmatnya kembali dibangkitkan penyokong.
Ketika FAM mengumumkan pelantikan Rob Friend pada hujung tahun lalu, Tunku Ismail antara yang paling teruja dengan portfolio figura dari Kanada itu, dan ini kata-kata baginda waktu itu:
“Keputusan terbaik untuk melantik seorang jutawan, berkelayakan tinggi dengan pengetahuan bolasepak yang cukup bagus. Friend mempunyai rangkaian luas dalam dunia bolasepak dan cintakan sukan. Dengan kelayakan ini jika satu hari Malaysia tidak mahukan dia, JDT akan menerimanya dengan tangan terbuka,” ujar Tunku Ismail.
Berita Berkaitan: “Jika Malaysia Tak Mahu, JDT Sedia Terima Rob Friend”
Bekas pemain kebangsaan Canada itu hadir dengan portfolio hebat menerusi penglibatannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bolasepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014.
Begitupun kredibiliti dan reputasi yang dibawanya itu tercalar teruk, dia menjadi bahan jenaka bukan sahaja dalam kalangan penyokong bolasepak tanah air, tetapi seluruh dunia berikutan terpalit dengan skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan palsu.
Malah, ketika dipanggil memberi keterangan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA, Friend tidak mengaku dirinya CEO sebaliknya menegaskan dia hanyalah seorang konsultan skuad kebangsaan selain hanya datang ke Malaysia untuk perlawanan babitkan skuad negara.
“Friend menjelaskan dia berperanan sebagai perunding kepada FAM, berpusat di Kanada dan melakukan perjalanan ke Malaysia pada hari perlawanan, serta menyatakan tugasnya adalah membantu projek tersebut, terutamanya dalam aspek penambah baikan kejurulatihan dan staf teknikal.
“Dia menyatakan semua proses berkaitan naturalisasi pemain diuruskan sepenuhnya oleh FAM di Malaysia dan dirinya hanya ditugaskan untuk membantu prosiding tersebut sejak ia dibuka pada 22 Ogos 2025.
“Dia juga menyatakan tidak mengetahui sebarang salah laku dan tidak terlibat dalam mana-mana proses sebelum tarikh tersebut,” kata FIFA dalam alasan bertulis penuh atau ‘motivated decision’ yang disiarkan kepada umum.
Sikap melepaskan diri dan lari daripada tanggungjawab ini jelas cukup mengecewakan warga bolasepak Malaysia, justeru, dengan menamatkan kontrak Rob Friend juga, FAM disifatkan telah membuat keputusan tepat.



