Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menepis tanggapan bahawa mereka tidak pernah mempunyai kuasa ke atas skuad kebangsaan Harimau Malaya sejak wujudnya entiti Malaysia National Team (NT) yang diterajui Rob Friend.
Susulan penamatan kontrak Rob Friend serta beberapa kakitangan skuad kebangsaan yang lain termasuklah Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain, wartawan Astro Arena Zulhelmi Zainal Azam menulis “Berakhirnya sebuah era, Harimau Malaya tampak kembali ke pangkuan FAM.”
Begitupun FAM membalas: “Untuk pengetahuan umum, pasukan Harimau Malaya sentiasa di bawah kendalian FAM, di mana semua jawatan-jawatan di Pasukan Kebangsaan (NT) adalah lantikan FAM.”
Jawapan balas FAM itu membawa makna skuad kebangsaan selama ini tetap berada di bawah kawalan badan induk itu, dan bukan dikawal selia sepenuhnya oleh Malaysia NT. Justeru, sudah tentunya tiada perkara yang berlaku tanpa pengetahuan FAM, paling utama mereka tentunya tahu siapa dalang kontroversi pemalsuan dokumen pemain warisan palsu.
Malaysia NT diwujudkan pada hujung 2024, menerusi wawasan Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Idea utamanya adalah merevolusikan skuad Harimau Malaya, dengan peranan khusus dalam aspek strategi, prestasi dan teknikal, selain membabitkan kakitangan, media, komunikasi, perubatan, sains sukan dan logistik pasukan.
Rob Friend dilantik sebagai CEO sekaligus bertindak sebagai peneraju utama dalam struktur organisasi baharu skuad kebangsaan. Bagaimanapun, revolusi yang diharapkan, malapetaka yang menimpa. Rob Friend dan pasukannya yang bertanggungjawab mencari pemain warisan untuk menyarung jersi Harimau Malaya, terpalit kontroversi pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan palsu dan ia bukan sahaja mencalar maruah negara, tetapi menjadikan Malaysia bahan jenaka di seluruh dunia.
Baru-baru ini, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mencadangkan agar pengurusan skuad Harimau Malaya tidak lagi berada di bawah Malaysia NT dan dikembalikan sepenuhnya kepada FAM sebagai sebahagian daripada proses reformasi yang sedang dilaksanakan.
AFC menegaskan struktur pengurusan skuad kebangsaan seharusnya berada di bawah tanggungjawab FAM melalui jawatankuasa khas yang diwujudkan, selaras dengan amalan pentadbiran bola sepak antarabangsa.



