HomeNostalgia"Dalam Banyak Tempat, Di Jepun Juga Kita Bertemu"

“Dalam Banyak Tempat, Di Jepun Juga Kita Bertemu”

Dato’ Lee Chong Wei menyajikan peminat badminton tanah air dengan ‘surprise moment’ yang mengimbau kenangan, apabila memuatnaik gambar bersama bekas seterunya di gelanggang Victor Axelsen.

Menariknya, mereka bukan merancang pertemuan tersebut, sebaliknya terserempak secara kebetulan ketika berjalan-jalan di Tokyo.

“Seronok dapat berjumpa semula dengan seorang rakan lama. Perseteruan mungkin telah berakhir, tetapi persahabatan kekal selamanya.

“Sejak kita bersara, kita tidak pernah berpeluang untuk berjumpa lepak bersama. Siapa sangka dalam dunia yang besar ini, kita boleh terserempak di Jepun ketika musim Piala Dunia. Langsung tak jangka, takdir adalah sesuatu yang gila!

“Apapun harap awak enjoy perjalanan di Jepun, dan sudah tentunya begitu juga dengan saya dan isteri Wong Mew Choo akan enjoy trip di sini,” tulis Chong Wei.

Beliau juga sempat berseloroh, “By the way, kenapa aku nampak kau ni makin tinggi. Apa yang sedang berlaku?”

Lee Chong Wei kekal sebagai antara pemain perseorangan lelaki terbaik dalam sejarah badminton, dikenali dengan kepantasan, konsistensi serta disiplin luar biasa sepanjang karier antarabangsa yang panjang.

Beliau mencipta sejarah luar biasa menduduki ranking nombor satu dunia selama 349 minggu sepanjang 19 tahun kariernya, dengan 199 minggu secara berturut-turut. Chong Wei merangkul pelbagai kejuaraan, dengan pencapaian terbaiknya adalah tiga pingat perak Sukan Olimpik pada 2008, 2012 dan 2016.

Sementara itu, Viktor Axelsen pula membina legasinya sendiri sebagai salah seorang pemain paling dominan dalam era moden, menggabungkan kelebihan fizikal, kuasa, ketepatan serta kawalan taktikal untuk menjadi antara kuasa besar dalam acara perseorangan lelaki. Dia merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik dua kali, pada 2020 dan 2024.

Walaupun kedua-dua mereka mewakili generasi berbeza dalam sukan ini, masing-masing tetap meraih penghormatan di peringkat dunia melalui prestasi, profesionalisme serta pengaruh mereka terhadap permainan.

Sebab itulah, walaupun sekadar pertemuan santai di Tokyo, ia pantas menjadi perhatian dunia badminton. Bagi peminat, ia bukan sekadar sekeping gambar atau satu kemas kini media sosial, tetapi satu peringatan tentang dua karier hebat dan dua pemain yang telah membentuk dua era berbeza dalam sejarah perseorangan lelaki badminton.

RELATED ARTICLES

Most Popular