Bekas pengurus pasukan bolasepak kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, menegaskan adalah penting untuk skuad Harimau Malaya mengadakan perlawanan ujian menjelang saingan Piala Hyundai ASEAN.
Ujarnya, aksi pemanas badan adalah peluang terbaik terbaik untuk jurulatih Tan Cheng Hoe menilai kekuatan dan kelemahan pasukan apatah lagi sudah hampir empat bulan skuad negara sepi tanpa sebarang aksi.
Kamarul akui Cheng Hoe memerlukan perlawanan ujian bagi menilai kesesuaian taktik, kesefahaman pemain, serta membentuk keselesaan dalam pasukan, lebih-lebih lagi apabila tempoh persiapan kali ini agak singkat.
“Saya rasa keperluan untuk mengadakan perlawanan ujian amat penting ketika ini. Ada perkhabaran bahawa pasukan Timor Leste akan berada di Kuala Lumpur, jadi Malaysia perlu mengambil peluang untuk mengadakan perlawanan ujian. Ia akan memberikan lebih pilihan kepada Cheng Hoe untuk memilih pemain.
“Jika tiada pasukan kebangsaan lain, tiada masalah kerana kita tahu pasukan-pasukan dalam Liga Super sedang dalam fasa mempersiapkan pasukan, jadi mereka boleh menjadi lawan ujian buat pasukan kebangsaan,” katanya dilaporkan Stadium Astro.
Skuad Harimau Malaya yang kali terakhir beraksi ketika tumbang 1-3 di tangan Vietnam pada 31 Mac, dijangka mengadakan kem latihan pusat bermula 15 Julai ini sebelum turun di perlawanan pertama Piala Hyundai ASEAN bertemu Myanmar di Yangon, 10 hari kemudian.
Selain Myanmar, skuad negara turut diundi bersama Thailand, Filipina dan Laos. Piala Hyundai ASEAN adalah nama baru bagi Piala AFF.



