Reputasi sebagai pemain bersih dan nama baik tercalar gara-gara tajuk akhbar mengatakannya menang penalti cara kotor.
Michael Owen sentiasa dikenang sebagai antara penyerang terbilang pernah disaksikan pada generasinya.
Meledak seawal usia 18 tahun di pentas Piala Dunia France 1998, Owen mencipta pelbagai momen luar biasa dalam kariernya baik bersama Liverpool mahupun secara peribadi.
Selain dikenali dengan kepantasan, kelicikan dan sentuhan klinikal, Owen turut dikagumi sebagai pemain yang jujur dan bersih.
Begitupun, pemenang Ballon d’Or 2001 ini memberitahu terdapat satu insiden di mana reputasi sebagai pemain bersih dan nama baiknya tercalar.
Semuanya gara-gara tajuk akhbar ‘Owen akui jatuhkan diri untuk menang penalti’ sebagai merujuk kepada dua penalti yang dimenanginya ketika menentang Argentina, masing-masing di Piala Dunia France 98 dan Korea/Japan 2002.
Kejadian di France 98 dan Korea/Japan 2002
Pada 1998, Owen mendapatkan sepakan penalti setelah dijatuhkan oleh Roberto Ayala dalam aksi pusingan kedua. Penalti disudahkan Alan Shearer seawal minit ke-10 dan Owen sendiri menjaringkan satu gol cantik dalam perlawanan itu.
Perlawanan berkesudahan seri 2-2 namun Argentina meneruskan kemaraan setelah menang penentuan penalti.
Manakala empat tahun kemudian di Sapporo, Owen dikasari oleh Mauricio Pochetino, penalti disudahkan oleh David Beckham untuk gol tunggal perlawanan. Kekalahan itu menyaksikan Argentina tersingkir penuh aib di peringkat kumpulan.
“Dalam satu temuramah setelah beberapa tahun berlalu, saya ditanya tentang insiden saya memenangi penalti di Piala Dunia. Ketika menjawab soalan mereka, saya memberitahu saya dihantui rasa bersalah dengan dua insiden itu. Ini kerana saya terjatuh dengan mudah akibat minimal contact daripada Ayala dan Pochetino sehingga berjaya memenangi penalti.
“Saya akui saya jatuh dengan mudah, saya tak cakap saya jatuhkan diri (diving). Tetapi saya terkejut melihat tajuk di akhbar tertulis ‘Owen akui jatuhkan diri untuk menang penalti’.
Memalukan, Tak Pernah Menang Penalti Cara Kotor
“Ia sangat memalukan saya, saya tidak pernah berkata sedemikian dan tidak pernah memenangi penalti cara kotor macam itu.
“Saya jatuh dengan mudah bermaksud saya sebenarnya masih boleh mengimbangi diri walaupun ada sentuhan ke atas saya. Ambil contoh awak sedang berlari, saya tackle. Awak mungkin terus jatuh, atau hampir terjatuh tetapi tetap meneruskan larian.
“Jatuh atau tidak, awak memang kena tackle. Begitulah situasinya dalam dua perlawanan menentang Argentina itu. Pada 1998, saya melakukan larian laju, berlaku kekasaran oleh Ayala, saya terjatuh. Adakah saya sebenarnya boleh mengelakkan diri dari terjatuh? Mungkin ya.
“Kemudian 4 tahun berikutnya pengadil Pierluigi Collina memberikan saya satu lagi sepakan penalti ketika menentang Argentina, sekali lagi, saya mungkin boleh mengelak daripada terjatuh, Pochetino membentes saya dan terdapat luka di kaki saya, tetapi saya seharusnya boleh mengimbangi diri saya.”
“Jadi saya tidak jatuhkan diri, saya tidak pernah menang penalti cara kotor. Ayat saya telah dimanipulasi dan ia amat memalukan,” ujar Owen yang membantu Liverpool menjulang lima trofi pada 2001.
Ada Pemain Bijak Perangkap Pertahanan Lawan
Tambahnya lagi, “Ia adalah satu topik yang sukar dibicarakan, terutamanya kepada mereka yang tidak terlibat dalam perlawanan tersebut. Kepada mereka yang bermain, pada situasi satu lawan satu anda akan cuba menarik pemain lawan ke dalam kotak penalti, ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Mereka mungkin menyekat pergerakan dengan membentes atau menghulurkan kaki.
“Dalam kes menjatuhkan diri, ada yang mempunyai skill untuk perangkap pertahanan lawan supaya membuat kesilapan, dan ada yang sengaja menunggu pertahanan menghulurkan kaki sebelum terjatuh untuk memenangi penalti.”
Owen yang pernah menyarung jersi Liverpool, Real Madrid, Newcastle United dan Manchester United menoktahkan karier pada 2013 dengan Stoke City menjadi pasukan terakhir diwakilinya.
Foto ehsan : FIFA