Pasukan KL City tidak sesekali paksa pemain mereka mewakili kelab pada ketika sedang terikat dengan komitmen bersama skuad kebangsaan.
Kelab itu mempunyai tiga pemain yang sedang bersama skuad negara di Piala ASEAN iaitu Declan Lambert, Paolo Josue dan Haqimi Azim.
Dengan saingan Liga Super dan Piala Malaysia tetap berjalan, pastinya khidmat pemain-pemain ini sangat diperlukan KL City. Namun mereka mengambil pendekatan memberi kebebasan kepada pemain untuk membuat pilihan, meskipun menyedari lawan di Piala Malaysia bukan calang-calang, juara bertahan yang juga pilihan utama, JDT.
“Bagi saya senang saja, daripada pemain yang dipanggil itu (mewakili Malaysia), saya akan tanya mereka nak bermain untuk Malaysia atau KL City.
“Kalau Malaysia, saya lepaskan untuk terus bermain tetapi pemain lebih memilih untuk berbakti bersama skuad negara daripada bermain menentang JDT.
“Maknanya kalau saya panggil mereka pulang untuk bermain dengan KL City pun tapi hati mereka tiada untuk bermain lawan JDT pun, tak guna juga.
“Saya masih menawarkan kepada mereka jika nak bermain bersama KL City, mereka akan dibayar elaun sama seperti bermain dengan Malaysia. Kalau pemain itu main untuk Malaysia tapi hati dekat KL City, baik jangan pergi mewakili Malaysia.
“Jika pemain itu sendiri sudah melakukan keputusan untuk mewakili negara, kita bagi sokongan penuh kepada pemain ini sebab saya bercerita dari sudut hati mereka hendak bermain untuk siapa.
“Sekarang isunya, walaupun Liga Malaysia masih berjalan dan pasukan sedang bermain, kita nak pemain yang ada hati dan berikan komitmen sepenuh hati dalam padang,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar dipetik dari laporan Arena Metro.
Penang dan Sabah Panggil Pulang Pemain
Sebagai rekod, sebelum ini dua pasukan iaitu Penang FC dan Sabah bertindak memanggil pulang pemain mereka dari kem kebangsaan.
Penang memanggil pulang Syamer Kutty Abba dan Adib Ra’op selepas pulang dari Kemboja bagi aksi Piala Cabaran, menyebabkan dua pemain itu tidak dapat diturunkan ketika menentang Timor Leste.
Berita Berkaitan: Semua Pemain Pergi Ke Bangkok, Kecuali Pemain Sabah
Manakala Sabah pula memanggil pulang empat pemain iaitu Darren Lok, Stuart Wilkin, Dominic Tan dan Daniel Ting selepas perlawanan menentang Timor Leste, sekaligus tidak akan dapat diturunkan dalam aksi menentang Thailand.