Penyokong geram Zarif Irfan kutip kad merah sia-sia gara-gara menyiku muka Clayton da Silva pada minit akhir perlawanan.
Sri Pahang berjaya membawa pulang bekalan satu gol untuk aksi timbal balik, setelah menewaskan Perak 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Manjung.
Tandukan Kpah Sherman menewaskan Ramadhan Hamid di pertengahan separuh masa pertama memisahkan kedua-dua pasukan.
Begitupun dalam meraikan kemenangan penting ini, penyokong Sri Pahang sedikit kecewa dengan insiden penjaga gol Zarif Irfan dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Setelah tampil cemerlang di sepanjang perlawanan dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya pasukan tuan rumah, tindakan kurang bijak Zarif Irfan di penghujung perlawanan ternyata membuatkan penyokong naik marah.
Kekecohan pada minit ke-87 itu bermula apabila Zarif Irfan dilihat cuba melengahkan permainan dengan menghalang Clayton da Silva dari mendapatkan bola ketika Perak mendapat sepakan sudut.
Dalam kekalutan tersebut, dia kemudiannya menyiku muka Clayton dan dilayangkan kad merah selepas pengadil menyemak VAR.
Baca juga: “Nak Berlatih Pun Tiada Padang” – Fandi Ahmad
Fandi Ahmad kemudian terpaksa memasukkan Azfar Arif sebagai pengganti dengan ‘mengorbankan’ Syazwan Andik. Walaupun hanya bermain beberapa minit, Azfar cemerlang mempertahankan gawang daripada asakan menggila minit akhir skuad Yusri Che Lah.
“Keeper dah perform cukup cemerlang, tapi akhirnya kutip kad merah yang sia-sia. Tolonglah barisan kejurulatihan disiplinkan sikit pemain. Elak kesilapan yang merugikan pasukan,” antara komen penyokong di laman sosial Sri Pahang FC.
“Zarif ni bukan sehari dua main bola, dah lama, tapi buat lagi benda kurang bijak. Nampak sangat sengaja, kita nak backup dia pun tak dapat,” komen seorang lagi penyokong.
“Dia ingat ni zaman dulu-dulu siku muka orang, pastu berlagak macam takde pape konon tak sengaja. Boleh terlepas, sekarang zaman VAR, nak jugak buat benda sia-sia,” antara komen lain.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam aksi timbal balik di Temerloh pada 22 Disember.