HomeSukan"Tindakan Mereka Adalah Salah" - Sergio Aguero

“Tindakan Mereka Adalah Salah” – Sergio Aguero

Pemain tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero tegas dalam pendapatnya bahawa tindakan memanggil pemain pulang mewakili kelab pada ketika Piala ASEAN sedang berlangsung adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya jika berniat memanggil semula pemain sekerat jalan, sesebuah kelab itu lebih baik tidak melepaskan terus pemain mereka ke kem kebangsaan.

Dalam hal ini dia berterima kasih kepada Sri Pahang yang memberi sokongan kepadanya mewakili negara.

“Saya harus mengucapkan terima kasih kepada kelab saya iaitu Sri Pahang kerana membenarkan saya beraksi sejak hari pertama.

“Kepada kelab yang melepaskan pemain, kemudian mereka memanggil semula untuk kembali beraksi bersama mereka, itu adalah satu perkara yang salah. Mereka perlu memberi sokongan kepada pasukan negara,” kata Sergio Aguero selepas perlawanan Malaysia menentang Singapura.

Untuk rekod, perkara di luar kebiasaan berlaku sepanjang kempen Harimau Malaya di Piala ASEAN apabila beberapa pemain pulang mewakili kelab masing-masing ketika kejohanan sedang berlangsung.

Kelab difahamkan berbuat demikian atas alasan kejohanan berlangsung di luar kalendar FIFA.

Ini menyebabkan mereka tidak dapat fokus dan memberi komitmen penuh kepada persiapan skuad negara.

“Kalau nak panggil balik, lebih baik jangan lepaskan terus. Jangan jadikan ini kebiasaan, ia salah,” ujar Aguero lagi.

Episod pemain dipanggil pulang bermula dengan Syamer Kutty dan Adib Ra’op yang pulang ke Penang untuk memperkuatkan pasukan bagi aksi Piala Cabaran selepas Malaysia menentang Kemboja. Ini menyebabkan kedua-dua pemain terlepas aksi menentang Timor Leste.

Kemudian empat pemain Sabah iaitu Daniel Ting, Dominic Tan, Darren Lok dan Stuart Wilkin pula pulang membantu pasukan mereka dalam saingan Piala Malaysia, selepas berakhir aksi menentang Timor Leste. Ini sekaligus menyaksikan kesemua mereka tidak terbang ke Bangkok untuk bertemu Thailand.

Pulang dari Thailand, Paolo Josue dan Declan Lambert dipanggil memperkuatkan KL City. Namun disebabkan gap masa yang sedikit panjang, kedua-dua mereka sempat diturunkan dalam aksi terakhir menentang Singapura.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!