Raja futsal tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) menambah kekuatan pasukan, dengan mengumumkan kemasukan tonggak skuad Harimau Malaya, Syed Aizad Daniel Syed Nasir sebagai wajah baru bagi musim 2025.
Sebelum ini Otai Station melaporkan pemain itu semakin menghampiri kelab selatan tanah air, setelah membuat pengumuman meninggalkan Selangor selepas enam tahun.
Berita Berkaitan: Tinggalkan Selangor, JDT Destinasi Baru Syed Aizad?
Dia sudah lama berada dalam pemerhatian pasukan selatan tanah air itu, lebih-lebih lagi 2024 telah menjadi musim kebangkitan sebenar pemain ini yang berjaya mengembalikan prestasinya ke tahap terbaik.
Syed Aizad bukanlah nama asing dalam arena futsal tanah air, selain dianggap nadi penting Selangor, dia juga merupakan tonggak skuad kebangsaan.
Setelah cemerlang memacu Selangor menjulang MPFL 2019, Syed Aizad ‘hilang’ seketika ekoran perpindahan tidak menjadi ke Pahang Rangers. Namun dia membuat comeback dan membantu Selangor meraih kejuaraan berganda 2022.
Untuk rekod, Syed Aizad bukanlah pemain pertama dipancing Harimau Selatan dari Selangor. Pada 2023, iaitu musim pertama pasukan itu ditubuhkan, mereka menyambar tujuh tonggak Selangor yang muncul juara berganda Malaysian Premier Futsal League (MPFL) dan Malaysia Futsal Cup (MFC) 2022 antaranya Firdaus Ambiah, Ekmal Shahrin, Azri Ghani, Azwann Ismail dan Saad Sani.
Kemasukan Syed Aizad pastinya menambah bisa JDT bimbingan Juan Antonio Miguel Garcia yang ketika ini memegang status sebagai juara berganda MPFL dan MFC.
Tiga Bekas Tonggak Pahang Rangers Perkuatkan Selangor
Terdahulu, Selangor mengumumkan kemasukan tiga bekas tonggak Pahang Rangers untuk memperkuatkan pasukan, iaitu Saiful Nizam Mohd Ali, Nazreen Saudi, dan Farhan Khairul Anuar.
Saiful Nizam yang juga bekas pemain kebangsaan merupakan pivot yang cukup popular dalam arena futsal tanah air.
Pemain berasal dari Johor ini bersama Pahang Rangers selama enam musim sejak 2019 dan meninggalkan gergasi pantai timur itu setelah kontraknya berakhir hujung musim lalu.
Nazreen atau lebih dikenali sebagai Chem pula, kembali menyertai Selangor yang pernah diwakilinya pada 2019.
Selepas membantu Selangor muncul juara MPFL tahun tersebut, Chem berkelana ke Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, sebelum kembali ke negeri kelahirannya untuk menyarung jersi Pahang Rangers selama dua musim pada 2023 dan 2024.
Manakala Farhan atau Apan, lebih awal meninggalkan Pahang Rangers pada penghujung 2023 untuk menyertai Shah Alam City pada musim lalu.
Sepanjang bersama Pahang Rangers selama lima musim bermula 2019, Apan telah membina nama dan reputasi sebagai salah seorang pemain terbaik dalam negara sehingga berjaya memecah masuk ke dalam skuad kebangsaan.