Skuad Harimau Malaya akan terbang ke Bangkok dari 24 ke 27 Mac untuk persiapan terakhir berdepan Vietnam dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac depan.
Tetapi apa sebenarnya keperluan untuk membuat persiapan di Bangkok untuk perlawanan yang sekadar pelengkap jadual? Demikian rungutan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menegur Persatuan Bolasepak Malaysia kerana membazir duit untuk kem latihan kali ini.
Menurutnya, mengambil kira menang atau kalah sudah tidak lagi bermakna apa-apa untuk Harimau Malaya, serta banyak duit yang telah terbazir untuk membayar denda sebagainya, FAM seharusnya lebih berhemah dalam berbelanja dan bukan menghabiskan duit untuk perkara sia-sia.
“Tidak perlu persiapan di Bangkok. Memandangkan kita sudah tahu kedudukan kita, kita sepatutnya kekal di dalam negara dan guna sahaja apa yang ada. Fokus FAM sepatutnya memulihkan maruah dan imej yang tercalar, mengembalikan kepercayaan penyokong.
“Bola sepak adalah milik rakyat. Jika rakyat sudah tidak berminat menyaksikan perlawanan, kita tidak mempunyai wang. Kita perlu memberi keyakinan semula kepada ibu bapa supaya anak-anak masih mahu bermain.
“Berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk perjalanan ke luar negara dan gaji pegawai yang tinggi, namun hasilnya di atas padang sangat sedikit.
“Daripada berbelanja besar untuk CEO dan perkara membazir yang lain, kita sepatutnya fokus kepada pembangunan bakat tempatan,” kata Jamal.
Malaysia yang sebelum ni gah mendahului Kumpulan F dengan 15 mata hasil lima kemenangan, tersingkir dari Piala Asia setelah dikenakan penolakan enam mata berikutan dua kemenangan ke atas Vietnam dan Nepal dibatalkan dan diisytihar kalah 3-0.



