HomeSukanArteta Minta Batalkan Kad Merah Lewis-Skelly

Arteta Minta Batalkan Kad Merah Lewis-Skelly

Mikel Arteta menggesa Persatuan Bolasepak England membatalkan kad merah kontroversi pemain pertahanannya, Myles Lewis-Skelly dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan The Gunners menang 1-0 ke atas Wolves.

Lewis-Skelly, 18, muncul pemain ketiga termuda dibuang padang dalam sejarah EPL apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver pada separuh masa pertama selepas menghalang gerakan Matt Doherty.

Keputusan Oliver dianggap terburu-buru apatah lagi ia berlaku di kawasan Wolves dan langsung bukan kesalahan last-man dan ia menimbulkan kemarahan penyokong Arsenal termasuk Arteta.

Sebagai rekod, Oliver juga merupakan pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemain sayap Arsenal, Leandro Trossard ketika menentang Manchester City pada 23 September lalu.

Bekas ketua pasukan England, Alan Shearer menganggap keputusan pantas layangan kad merah itu sebagai keputusan paling buruk yang dipernah dilakukan pengadil di saingan EPL.

Menurut Arteta, beliau kehilangan kata-kata sebaik pengadil itu melayangkan kad merah dan akui berang dengan keputusan itu. Dia mahu keputusan itu ditarik balik sepertimana FA England membatalkan kad merah Bruno Fernandes ketika menentang Tottenham Hotspurs.

“Saya benar-benar marah tetapi saya enggan ulas lanjut sebaliknya biarpun peminat di luar sana menilai sendiri keputusan pengadil itu. Kami tidak perlu berkata apa-apa, biarkan peminat sendiri bercakap mengenainya dan berharap kebenaran akan muncul.

“Saya harap kami tidak perlu membuat rayuan namun mengharapkan sesuatu daripada insiden itu, agar ia dipertimbangkan kembali (membatalkan kad merah). Jika ada rujukan, insiden kad merah Bruno adalah rujukan terbaik.

“Bagi saya sendiri, pemain saya (Lewis-Skelly) perlu bermain untuk aksi berikutnya kerana kami sedang memburu kejuaraan liga. Banyak lagi perlawanan penting selepas ini,” katanya.

Dalam aksi sengit itu, Wolves turut kehilangan seorang pemain di babak kedua untuk membolehkan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain.

Akhirnya Arsenal berjaya meraih gol kemenangan menerusi ledakan leret Ricardo Calafiori di minit ke-74, sekali gus meletakkan pasukannya terus mengejar Liverpool dengan perbezaan enam mata di belakang.

“Saya benar-benar gembira dengan kemenangan ini meskipun pada mulanya kami tertekan ekoran kekurangan seorang pemain.

“OK, kami masih di posisi terbaik dan masih berpeluang merebut kejuaraan liga. Saya harap konsistensi ini akan diteruskan di mana perjalanan liga masih panjang,” katanya.

Sumber – AFP

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!