Penyerang Johor Darul Takzim (JDT) Bergson da Silva percaya Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) membuat keputusan tepat apabila menyatakan mahu menjadikannya pemain naturalisasi dalam tempoh terdekat.
Sebelum ini, Tunku Ismail yang merupakan pencetus Revolusi Harimau Malaya memberi gambaran Bergson, Manuel Hidalgo dan beberapa pemain lain yang cukup syarat boleh dinaturalisasi untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.
Baca juga: Gallifuoco dalam radar, bakal naturalisasi Harimau Malaya?
Bergson yang akan memasuki tahun kelima bermain di JDT pada 2025 mengakui dirinya teruja dan tidak sabar menanti peluang itu tiba.
“Kamu menjumpai satu perkara yang terbaik untuk saya dan Harimau Malaya. Saya sentiasa di sini kerana saya sentiasa berasakan ini (Malaysia) adalah rumah saya.
“Saya sangat pasti bos (TMJ) akan membuat keputusan yang tepat untuk kami. Saya mempercayainya dan sangat menyayangi negara ini,” katanya di Astro Arena.
Sepanjang bersama Harimau Selatan, Bergson telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang import terbaik pernah dibawa masuk pasukan itu berdasarkan sentuhan klinikal dan tajam di depan gol.
Pemain kelahiran Brazil itu telah menjaringkan lebih daripada 100 gol dalam semua pertandingan sepanjang empat musim; pernah muncul penjaring terbanyak Liga Super 2022 dengan 29 gol.
Maka tidak hairanlah ramai setuju Bergson dijadikan naturalisasi sekurang-kurangnya sebagai solusi jangka pendek.
Sebagai rekod, sebelum ini, Malaysia sudah pernah diperkuatkan beberapa pemain naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula, Lee Tuck, Endrick Dos Santos, Romel Morales sehinggalah yang terbaru Paolo Josue.
Ada di antara mereka merupakan pilihan tepat, dan ada juga yang dianggap sebagai kegagalan.