Umum mengetahui, Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) baru-baru ini telah menolak rayuan tujuh pemain warisan dan mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan dijatuhkan FIFA ke atas mereka atas kesalahan pemalsuan dokumen.
Namun, CAS ketika itu hanya membuat kenyataan pendek dan belum memberikan perincian penuh (motivated decision) mengenai skandal tersebut yang disifatkan berprofil tinggi dan menjadi perhatian seluruh dunia.
CAS dijangka akan mengeluarkan alasan penuh penghakiman mereka pada bila-bila masa, dan apa yang menarik, ia bakal mendedahkan siapakah dalang di sebalik pemalsuan dokumen tersebut.
Ada yang menyalahkan ejen pemain, ada yang menyalahkan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, ada yang menyalahkan FAM, ada yang menyalahkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), ada yang menyalahkan Rob Friend dan pengurusan pasukan kebangsaan, tetapi ia kekal menjadi misteri sehingga ke saat ini.
“Kita sebenarnya menunggu penilaian penuh daripada CAS dan perinciannya akan lebih mengejutkan lagi kerana ia akan mendedahkan misteri selama ini. Alasan penuh keputusan FIFA sebelum ini hanya menyatakan tentang ejen pemain.
“Tetapi ejen pemain ini tidak berurusan dengan FAM secara terus sebab ada ejen di tanah air yang menguruskannya. Bukan orang FAM yang menguruskannya, pencarian pemain ini ada satu pihak yang melakukannya. Ini tidak muncul dalam lembaga disiplin dan rayuan FIFA,” kata pemerhati dan pengkritik sukan terkenal, Zakaria Rahim.
Untuk rekod, pada November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA dalam motivated decision setebal 63 muka surat menyenaraikan Nicolas Puppo dan Frederico Moraes sebagai individu yang terbabit dalam proses menyediakan dokumen kelayakan yang kemudian didapati palsu.
Pendedahan itu turut menjadi sebahagian daripada cadangan rasmi panel rayuan supaya FAM melaksanakan siasatan dalaman bagi mengenal pasti pihak yang terbabit sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
FIFA menegaskan pendedahan nama dua ejen itu bukan satu tuduhan, sebaliknya satu keperluan untuk proses siasatan susulan yang perlu dijalankan oleh badan induk bola sepak dunia itu sendiri.
Menurut dokumen itu, pembabitan tiga individu itu memerlukan penelitian lebih mendalam kerana mereka berada dalam rantaian proses yang membawa kepada wujudnya dokumen kelayakan palsu untuk tujuh pemain.
Jawatankuasa Rayuan FIFA menyatakan siasatan tambahan amat penting bagi memastikan semua individu terbabit dapat dikenal pasti dan tidak ada pihak yang terlepas daripada proses undang undang sukan.
Namun sejak itu, tidak ada apa-apa perkembangan, malah skandal ini seolah-olah cuba didiamkan meskipun ada laporan polis dibuat FAM melalui bekas Presiden, Datuk Yusoff Mahadi. PDRM juga katanya ada merakam percakapan beberapa individu tetapi akhirnya kes hilang ditiup angin begitu sahaja.



