HomeSukanDari Kelantan ke JDT, Impian Ammar Harith Jadi Kenyataan

Dari Kelantan ke JDT, Impian Ammar Harith Jadi Kenyataan

Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat Mohamad Ammar Harith Mohamad, apabila khidmat bintang dari Kelantan itu disambar juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) bagi mengharungi musim baru Malaysia Premier Futsal League (MPFL).

Penjaga gol muda berusia 18 tahun itu, tahun lalu cemerlang membantu negeri kelahirannya menjuarai Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan, dan dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Kemudian, dia turut memainkan peranan penting ketika Malaysia memenangi pingat gangsa di Kejuaraan Futsal ASEAN B-19 edisi sulung di Thailand pada Disember.

Ketenangan di gawang dan deretan aksi mencuri tumpuan, menghadiahkannya kontrak bersama skuad Harimau Selatan sekaligus merealisasikan impian pemain itu yang diketahui menyimpan impian mahu beraksi di Divisyen Satu seterusnya menyarung jersi kebangsaan suatu hari nanti.

Sejurus diumumkan sebagai wajah baru JDT Futsal, Ammar Harith sudahpun menyertai sesi latihan pertama pasukan di bawah kendalian jurulatih dari Portugal, Joao Almeida pada Isnin.

Menyingkap pembabitan Ammar dalam futsal, ia bermula seawal usia 11 tahun melalui program Milo Champions Clinic di bawah tunjuk ajar jurulatih berpengalaman Nik Muhammad Amin Nik Mohamad. Dari situ, minat dan bakatnya mula terserlah, membuka jalan kepada perjalanan karier yang semakin kukuh.

Menjadi sebahagian daripada pasukan N10 sejak usia 15 tahun, Ammar terus menunjukkan kematangan dan ketenangan luar biasa di posisi penjaga gol – sesuatu yang jarang dimiliki pemain seusianya.

Kehebatannya di gawang telah melayakkannya menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik dalam kejohanan Milo di Johor, satu pengiktirafan awal terhadap potensinya yang besar.

Kehadiran Ammar Harith atau dikenali dengan panggilan Bulat dalam kalangan rakan sepasukan, pastinya meningkatkan saingan di posisi penjaga gol JDT yang sudah sedia ada Aiman Fikry Ramli dan Izham Zulkifli.

Manakala penjaga gol veteran yang juga bekas kapten, Azrul Hadee Mohd Taufiq pula dijangka beralih ke bidang kejurulatihan.

RELATED ARTICLES

Most Popular