HomeSukan"Dia Nak Cari Populariti Melalui Isu FAM-AFC"

“Dia Nak Cari Populariti Melalui Isu FAM-AFC”

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Kamarudin Hassan, hairan dengan rasa cakna dan ambil berat ditunjukkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh terhadap isu yang sedang dihadapi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ramkarpal mahu laporan penuh audit AFC terhadap FAM didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan isu tadbir urus badan induk bola sepak negara itu dibahaskan secara menyeluruh.

Tambahnya, pendedahan yang dibuat wakil AFC ketika Kongres Luar Biasa FAM pada Khamis lalu menimbulkan persoalan serius mengenai keadaan sebenar pentadbiran badan induk itu, apatah lagi hanya sebahagian daripada hasil audit didedahkan kepada ahli kongres.

Dia dijangka menaikkan isu ini di Parlimen pada 22 Jun depan. Tetapi bagi Kamarudin, dia melihat Ramkarpal sekadar ingin menangguk di air yang keruh dan cuba mencari populariti dengan menunggang kemelut antara FAM dan AFC itu.

“Dalam buku kongres FAM, setiap tahun ada laporan kewangan. Bila ada laporan kewangan, bermaksud adalah audit di buat. Orang politik memang macam itulah, di situlah nak ambil kesempatan untuk popularkan diri.

“Kalau betul tiada masalah. Jadi (atas) apa yang berlaku di FAM ketika ini nak dijadikan isu dan dibentangkan di parlimen, sepatutnya isu ini di antara FAM dan AFC-FIFA. Tidak perlu dibawa ke parlimen. (Kalau tidak) semua persatuan sukan di Malaysia ini (eloklah) dibawa ke parlimen (jugalah),” katanya kepada Nadi Arena.

Sebelum ini, Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menjelaskan terpulang kepada badan induk itu atau AFC sama ada mahu memenuhi permintaan Ramkarpal atau tidak.

“Itu hak mereka, FAM atau AFC sama ada nak bagi atau tidak, terpulang. Saya tiada kuasa nak putuskan, yang itu di bawah kuasa presiden atau exco, mereka ada kuasa dan bincang dengan AFC untuk menentukan,” kata Hamidin.

Manakala Setiausaha Agung FAM pula, Datuk Noor Azman Rahman pula menjelaskan, apa yang menjadi sedikit kebimbangan ialah sekiranya ia (bawa ke Parlimen) mewujudkan perkara yang boleh dianggap sebagai campur tangan kerajaan dalam badan induk itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular