HomeSukanDonnarumma Jawab Dakwaan Bonus Jadi Punca Kegagalan Itali

Donnarumma Jawab Dakwaan Bonus Jadi Punca Kegagalan Itali

Isu bonus pemain menjadi bualan hangat dan dikaitkan sebagai punca utama kegagalan Itali layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut. Kapten pasukan, Gianluigi Donnarumma, tampil memberikan penjelasan.

Menurut Donnarumma, beliau berasa terluka dengan laporan yang mendakwa pemain-pemain Itali menuntut bayaran bonus sekiranya mereka layak ke Piala Dunia tahun ini.

Juara empat kali itu, sekali lagi kempunan berada di pentas bolasepak terbesar dunia setelah kecundang 4-1 menerusi penentuan penalti kepada Bosnia & Herzegovina dalam perlawanan akhir play-off bulan lalu.

“Sebagai kapten, saya perlu tegaskan saya mahupun sesiapa tidak pernah meminta walau satu euro daripada pasukan kebangsaan Itali. Biasanya persatuan memberikan ganjaran atau bonus kepada pemain yang layak ke sesuatu kejohanan.

“Itu sahaja, tetapi tiada siapa daripada kami yang meminta apa-apa daripada persatuan; ganjaran kami adalah peluang untuk pergi ke Piala Dunia. Jadi hentikan laporan atau spekulasi isu bonus ini kerana ia menyakitkan,” kata penjaga gol Manchester City itu kepada SkySports Italia.

Kegagalan Itali untuk layak ke Piala Dunia yang pertama kali dianjurkan tiga negara, dan pertama kali juga berlangsung membabitkan 48 pasukan, menyaksikan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Gabriele Gravina, meletak jawatan susulan tekanan politik, manakala bekas penjaga gol negara itu, Gianluigi Buffon, turut berundur sebagai ketua delegasi pasukan.

Selain itu, ketua jurulatih, Gennaro Gattuso, juga melepaskan jawatannya.

“Kami perlu bermula semula dan terus melangkah ke hadapan. Kami perlu bangkit semula; masih ada empat tahun sebelum Piala Dunia seterusnya, dan dalam tempoh itu terdapat kejohanan besar seperti Kejuaraan Eropah dan Liga Negara-Negara.

“Sebelum memikirkan Piala Dunia, kami perlu memberi tumpuan kepada kejohanan-kejohanan besar ini dan perlu bermula semula dengan kuat secepat mungkin.”

Kali terakhir Itali beraksi di Piala Dunia adalah pada 2014, di mana ketika itu mereka terkandas di peringkat kumpulan setelah mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan.

RELATED ARTICLES

Most Popular