HomeSukanDua Kemenangan Dibatalkan, FAM Mohon Alasan AFC

Dua Kemenangan Dibatalkan, FAM Mohon Alasan AFC

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan berdiam setelah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan dua kemenangan yang dilakar Harimau Malaya dalam aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

“Kami akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini,” menurut FAM dalam satu kenyataan.

Terdahulu Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang pada Selasa membuat keputusan membatalkan kemenangan 2-0 ke atas Nepal dan 4-0 ke atas Vietnam seterusnya mengisytiharkan Malaysia kalah kedua-dua perlawanan dengan keputusan 3-0.

Selain itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119).

Ini berikutan kesalahan menurunkan tujuh pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan tersebut iaitu Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueireido, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado.

Pemain-pemain terbabit didakwa atas kesalahan pemalsuan dokumen, dan telahpun dijatuhkan hukuman penggantungan 12 bulan oleh FIFA. Rayuan mereka juga telah ditolak oleh Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Dengan hilangnya enam mata, Malaysia kini mengumpul hanya sembilan mata dan sah tersingkir daripada Piala Asia 2027. Perlawanan terakhir menentang Vietnam di gelanggang mereka pada 31 Mac depan sekadar pelengkap jadual aksi buat skuad Peter Cklamovski.

RELATED ARTICLES

Most Popular