HomeSukanErick Thohir Hairan Nama Kena Petik Lagi

Erick Thohir Hairan Nama Kena Petik Lagi

Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir hairan namanya kena petik sekali lagi sebagai dalang yang membuat aduan kepada FIFA berhubung kontroversi pemain warisan Malaysia.

Beberapa hari lepas, tular laporan oleh sebuah portal menyebut Thohir adalah individu yang berperanan membawa perkara itu ke pengetahuan FIFA dan cuba bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’.

Begitupun dia yang juga Menteri Belia dan Sukan Indonesia menyifatkan ia sebagai dakwaan tidak berasas apabila ditanya pemberita di Jakarta.

“Sudah tentu ia tidak benar. Tiada sebab untuk kita (Indonesia) masuk campur urusan bolasepak negara lain. Apa gunanya kepada kita menyekat kemajuan negara sesama serantau sedangkan kita saling memerlukan?” kata Thohir dipetik dari DetikSports.

Tegas Thohir lagi, fokus sepatutnya diberikan kepada kerjasama serantau dan bukannya mewujudkan ketegangan, sambil menambah negara-negara Asia Tenggara perlu bekerjasama untuk meningkatkan standard bola sepak.

“Sebab itu kita pada masa sama meningkatkan kualiti kita. Jika bola sepak kita tidak meningkat, sudah tentu kita akan terus tewas kepada negara Eropah dan Amerika Latin,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan aduan awal kepada FIFA sebenarnya datang daripada Vietnam Football Federation (VFF) berhubung status kelayakan tujuh pemain warisan Harimau Malaya — Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Facundo Garces, Imanol Machuca, Gabriel Palmero dan Rodrigo Holgado susulan kekalahan memalukan 4-0 dalam kelayakan Piala Asia 2027.

Kontroversi itu menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan hukuman oleh FIFA pada penghujung 2025 selepas didapati menurunkan pemain yang didakwa menggunakan dokumen palsu, manakala kesemua tujuh pemain dikenakan penggantungan 12 bulan daripada aktiviti bolasepak.

RELATED ARTICLES

Most Popular