HomePanoramaFadhlina: Peperiksaan Dimansuh Demi Kurangkan Tekanan Murid

Fadhlina: Peperiksaan Dimansuh Demi Kurangkan Tekanan Murid

Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah bertujuan mengurangkan tekanan mereka,” demikian menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sehubungan dengan itu, KPM mengambil pendekatan agar tumpuan pembelajaran di sekolah berasaskan inquiry (pertanyaan), eksplorasi, pengalaman, kontekstual (mengikut konteks) serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.

“Pentaksiran bilik darjah ini akan beri satu tanda aras lebih baik. Khususnya untuk melihat dan menilai anak-anak lebih holistik melibatkan komponen pentaksiran bilik darjah, jasmani, sukan dan kurikulum dan juga psikometrik serta kecenderungan murid.

“Pendekatan yang kita ambil untuk memastikan tiada lagi tumpuan diberikan kepada orientasi peperiksaan dan mengurangkan tekanan mereka. Sebaliknya menawarkan satu ekosistem pembelajaran jauh lebih menarik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Baca juga: Kenali Vivi Yusof, Ikon Fesyen dan Inspirasi Wanita Muslimah

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) sama ada KPM bersedia mengkaji semula bidang kurikulum persekolahan bagi mengurangkan tekanan akademik dalam kalangan murid.

September lalu, Fadhlina memberitahu KPM tidak mahu murid sekolah dijadikan ‘tikus makmal’ dalam aspek pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Kita perlu menyediakan pandangan keseluruhan dan persiapan menyiapkan padangan. Tetapi ia tidak boleh dilihat dalam satu aspek saja kerana anak-anak kita bukan tikus makmal yang diulang kaji mereka ini.

“Kejap ada peperiksaan, kejab tidak ada…kena ada ketetapan itu. Kita sudah membuat pelbagai penegasan semula untuk pentaksiran ini dan latihan guru.”

Utamakan Psikososial dan Kesihatan Mental Murid

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM sentiasa memberi keutamaan dalam hal kebajikan dan kesejahteraan murid. Ini termasuk psikososial dan kesihatan mental murid antaranya melaksanakan Saringan Minda Sihat sebagai mekanisme pengesanan awal untuk mengenal pasti murid berhadapan gangguan emosi.

“Saringan Minda Sihat dilaksanakan setahun sekali terhadap semua murid tahun lima hingga tingkatan enam. Manakala murid yang dikenal pasti mempunyai masalah gangguan emosi teruk dan sangat teruk, Saringan Minda Sihat dilaksanakan sebanyak dua kali setahun.

“Murid yang menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan diberikan bantuan segera melalui intervensi berfokus menggunakan Modul Minda Sihat, Modul Program Intervensi Minda Sihat dan Modul Kesihatan Mental Remaja yang menerapkan kemahiran menangani stres, kemahiran menyelesaikan masalah dan menguruskan emosi dengan baik,” katanya.

Mengenai saringan kesejahteraan psikologi guru, beliau berkata, sebanyak 92.7 peratus guru telah memiliki profil kesejahteraan psikologi berdasarkan pemprofilan kesejahteraan guru menggunakan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi).

Beliau berkata, KPM juga sedang membangunkan Indeks Kesejahteraan Guru (IKG).

Ia bertujuan mengukur kesejahteraan guru melalui domain ketersediaan dan penggunaan sumber, autonomi dan kompetensi guru, keselarasan kerja dan persekitaran, kesejahteraan psikologi dan sistem sokongan. – Bernama

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!