Bekas pesilat no.1 negara, Faizul Nasir mencuri tumpuan apabila menggunakan pentas rasmi untuk mencipta momen yang cukup indah bersama isterinya Partini Sarikin Sari Adnan, yang juga pesilat terkenal Negeri Pahang.
Faizul diberi peluang menyampaikan sendiri Anugerah Pesilat Terbaik Putri Open kepada Partini Sarikin ketika Majlis Perasmian Penutupan Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar Madani Pahang di SUKPA pada minggu lalu.
Namun ketika Partini mahu meninggalkan pentas, Faizul membuat kejutan apabila tampil menghadiahkan sejambak bunga dan cincin kepada isterinya, yang disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh para tetamu dan hadirin.
“Ini antara momen paling manis yang kita cipta bersama. Untuk pasangan saya, cinta saya, segalanya saya, PESILAT TERBAIK saya. Saya mungkin tidak merancang segala-galanya dengan sempurna, tetapi saya percaya perancangan terbaik sentiasa daripada Allah. Melalui semua suka dan duka, kita tetap kuat bersama.
“Malam ini untuk kamu, untuk kita, dan untuk cinta yang kita kongsi. Apa pun yang berlaku di masa depan, saat ini akan sentiasa hidup dalam hati kita. Kenangan ini akan sentiasa menjadi tanda cinta dalam kisah kita.
“Jika esok adalah hari terakhir kita, dan kita masih mempunyai sebiji benih di tangan, kita akan menanamnya bersama,” tulis Faizul, pemenang pingat perak Kejuaraan Silat Dunia 2018 di Tiktok peribadinya.
Namun apa yang menjadi tumpuan orang ramai adalah reaksi Partini Sarikin, yang seolah tidak selesa dan tidak menyenangi tindakan itu. Malah dia seperti tidak teruja dan tidak langsung mengalu-alukan kejutan itu, semuanya dapat dilihat dengan jelas pada riak wajahnya.
Rupanya ada cerita kurang enak, tindakan Faizul itu sebenarnya didakwa bertujuan untuk memujuk semula isterinya. Perkara ini didedahkan seorang lagi bekas pesilat negara, Rina Jordana Adnan, yang merupakan kakak kepada Partini.
Malah Rina Jordana menyelar tindakan Faizul itu sebagai bodoh dan sengaja mencari publisiti murahan.
“Ini yang si Faizul Nasir nak sebenarnya, publisiti murahan. Benda bodoh macam ini tak perlu pun kau buat depan orang ramai, dalam majlis rasmi pulak tu. Aku sebagai ahli keluarga belah perempuan pun rasa malu, jijik dengan perangai lelaki macam kau yang jenis macam ni. Nampak sangat TRY HARD.
“Kalau ya pun nak selesaikan masalah rumah tangga, datang selesaikan elok-elok dengan keluarga, bukan cari kawan-kawan dan buat kerja bodoh macam ini. Sembilan tahun adik aku kahwin dengan lelaki ni, hanya aku dan keluarga jer tahu apa yang adik aku tanggung.
“Bila alik perempuan dah TAWAR HATI, MATI RASA dan dah nak TUTUP BUKU, baru terhegeh-hegeh merayu dan melutut. Dah terlambat dah oi.
“Kepada rakan-rakan media sosial, aku just nak bagitahu, reaksi muka adik aku (Partini) dalam tu memang real dan tak boleh nak sorok. Betapa tak sukanya dia dengan apa yang berlaku di atas pentas. Bukan sebab nak jaga hati orang lain, tapi masih senyum nak jaga air muka sendiri dan air muka lelaki tu.
“Kalau aku kat tempat dia, aku rasa aku dah hempuk bunga tu kat kepala dia awal-awal,” ujar Rina Jordana, bekas pesilat terbaik kebangsaan yang pernah memenangi pingat emas Kejuaraan Silat Dunia 2004 dan 2007.
Partini tidak ketinggalan untuk memberi penjelasan mewakili dirinya, yang mana membuktikan kata-kata Rina Jordana adalah benar.
“Dari orang tak tahu, sampai (semua) jadi tahu kan, buat malu jer. Takpelah ini ujian Allah nak bagi. Saya tetap memilih untuk diam. Biar Allah jer yang tentukan, korang tak payahlah tahu apa masalah kami.
“Video yang viral tu biarlah nak viral, korang cakaplah apa nak cakap. Yang belah sana (Faizul) nak tarik lagi perhatian tu teruskan la sampai puas. Tak puas buat hal atas pentas kat majlis orang, dia pergi viralkan pulak.
“Tak puas lagi, pergi korek video lama. Tak puas lagi tu, dia pergi buat live Tiktok pulak. Apa awak ingat awak tu artis, korang kasi jer laa perhatian kat dia ok, saya ni dah puas menahan hati. Diam tak buat apa-apa pun tak pasal-pasal kena (kecam) jugak.
“Saya bergelut nak lupakan masalah ni kejap, sakitkan badan sendiri dengan aktiviti ni semua, tapi stress jugak yer,” ujar Partini.



