Tidak banyak yang dapat dibuktikan Felipe de Souza ketika hadir mewarnai Liga Super kira-kira lapan tahun lalu, bersama Melaka United. Persinggahan yang singkat, beraksi cuma 10 perlawanan namun berjaya menjaringkan empat gol dan melakukan tujuh assist.
Sebaik tinggalkan Melaka, transisi kariernya bermula, dia beralih ke futsal dan cepat ‘ngam’ dengan sukan itu. Ketika dia kembali ke bumi Malaysia untuk menyarung jersi Pahang Rangers pada 2024, tiada siapa sangka dia akan melangkah begitu jauh.
Rekod demi rekod, sejarah demi sejarah dilakar pemain kelahiran Brazil ini sehinggakan berjaya memahat nama bukan sahaja sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad Tok Gajah, tetapi juga untuk saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) itu sendiri.
Dipecahkan rekod jaringan Felipe, pada musim pertamanya di Pahang Rangers dia meledak 24 gol dalam MPFL dan muncul sebagai penjaring terbanyak liga. Dia kemudian menambah lagi empat gol dalam saingan Piala Malaysia untuk mengakhiri 2024 dengan total 28 gol.
Pada 2025 pula, Felipe meledak 22 gol dalam MPFL namun berada di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak setelah ketinggalan tujuh gol di belakang Vitor Fernandes. Dengan tambahan lima gol dalam Piala Malaysia, Felipe menamatkan musim dengan total 27 gol.
Ini meletakkannya di kedudukan tertinggi carta penjaring MPFL sepanjang zaman dengan 46 gol, dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Pahang Rangers dengan total 56 gol.
Memasuki musim ketiga bersama Pahang Rangers, sasaran Felipe bukan hanya pada rekod peribadi tetapi lebih daripada itu, mahu menjulang trofi MPFL buat kali pertama.
“Rekod peribadi adalah satu penghormatan, saya tidak mahu berhenti dan akan terus menetapkan satu tanda aras baru. Tetapi tugas saya tidak selesai selagi tidak memenangi sesuatu di sini.
“Saya mahu bawa Pahang Rangers kembali bergelar juara, menulis sejarah baru. Ia adalah satu janji yang belum dilunaskan. Pahang adalah di mana sejarah saya tertulis, dan sejarah itu hanya akan lengkap apabila saya memenangi piala di sini,” kata Felipe kepada Otai Station.
Saingan musim baru MPFL akan membuka tirainya pada Sabtu, dengan Pahang Rangers akan turun berdepan ATM sebelum menentang juara bertahan JDT pada Ahad.



