Tidak salah bercita-cita tinggi dan meletakkan sasaran, tetapi perlu bercakap bersandarkan kepada fakta dan realiti.
Itu pandangan pemerhati bolasepak, Sadek Mustafa berhubung kata-kata yang diungkapkan CEO Harimau Malaya, Rob Friend serta Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan, Dr. Craig Duncan.
Rob Friend baru-baru ini menyatakan impiannya untuk membawa Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia, manakala Duncan pula mahu menjadikan skuad Harimau Malaya sebagai paling cergas di Asia.
Baca Juga : Kepakaran Rob Friend Lebih Sesuai Dimanfaatkan MFL
Bagi Sadek, kata-kata itu perlu dibuktikan dan bukan sekadar sembang ‘kencang’ untuk memenangi hati penyokong kerana ayat-ayat sedemikian sudah sering kali didendangkan.
Menurutnya, adalah lebih penting Friend dan Duncan mencari penawar bagi mengubat kelemahan pasukan negara yang sekian lama berada dalam prestasi tidak memuaskan.
“Apa juga hasrat mereka, itu sudah tentu sasaran yang mereka tetapkan. Dalam menjadikan pasukan Harimau Malaya paling cergas, sudah tentu perlu melihat kepada ‘keputusan makmal’ dan data kesemua pemain negara.
“Daripada data tersebut baru dapat tahu di mana tahap pemain negara dan satu program khas boleh direka. Namun, sejauh mana ia akan berhasil, kita serahkan kepakaran kepada mereka.
“Begitu juga untuk layak ke Piala Dunia. Saya melihat CEO baharu Harimau Malaya tidak biasa dengan pengurusan pasukan kebangsaan. Ia akan menjadi sedikit cabaran terutama untuk memahami konteks di Asia.
“Bagi saya, apa juga yang diutarakan oleh kedua-dua mereka, perlu dibuktikan dan bukan hanya cakap kosong. Ini memerlukan kerja keras dan akan memakan masa yang lama. Sudah tentu peminat bola sepak negara tidak boleh mengharapkan keputusan segera.
“Saya harap apa juga yang dilakukan akan mampu meningkatkan prestasi pasukan negara,” katanya dilaporkan Sukan Sinar.