Harimau Malaya sah menyenaraikan skuad sepenuhnya berwajah baru untuk menghadapi Piala Futsal ASEAN 2026 di Thailand bermula 5 April depan.
Ini setelah ketua jurulatih, Addie Azwan Zainal gagal mendapatkan seorangpun pemain utama dari JDT mahupun Selangor yang selama ini menjadi tunjang pasukan kebangsaan, sepertimana dilaporkan OtaiStation baru-baru ini.
Berita Berkaitan: JDT, Selangor Enggan Lepaskan Pemain
Untuk pengetahuan, sejak dua tahun yang lalu, 16 daripada 20 pemain yang seringkali dipanggil ke kem kebangsaan adalah pemain-pemain JDT dan Selangor.
Justeru apabila kedua-dua pasukan enggan melepaskan pemain mereka untuk kem kali ini, Harimau Malaya ibarat bukan sahaja tempang, tapi kudung kedua-dua belah kaki.
Tiada kelibat Awalluddin Md Nawi, Ridzwan Bakri, Firdaus Ambiah, Daniel Dain, Saad Sani, Ekhmal Shahrin dan lain-lain tonggak dari JDT. Begitu juga hilangnya kelibat Khairul Effendy Bahrin, Faris Johan, Syahir Iqbal Khan, Saifuddin Syukri dan Syawal Sabaruddin dari Selangor.
Turut tidak tersenarai seorang pemain Pahang Rangers, Harith Naim Mohd Nasir.
Pemain-pemain yang dipanggil ke kem kebangsaan kali ini boleh dikatakan mentah pengalaman antarabangsa, rata-ratanya pertama kali dipanggil meskipun ada di antara mereka membawa pengalaman bersama skuad B-19 kebangsaan seperti Faaris Amsyar, Iqbal Hazim (Selangor), Ammar Harith (JDT) dan Adam Rayyan (Pahang Rangers).
Piala ASEAN Futsal dijadual berlangsung dari 5 hingga 13 April depan, membabitkan lapan pasukan susulan penarikan diri Kemboja baru-baru ini. Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Indonesia, Australia dan Brunei.
Pencapaian terbaik skuad Harimau Malaya adalah muncul naib juara sebanyak lima kali pada 2003, 2005, 2010, 2017 dan terakhir pada 2018.



