HomeSukanHeret Menteri KDN Ke Mahkamah, Bukan TMJ

Heret Menteri KDN Ke Mahkamah, Bukan TMJ

“Yang sepatutnya diheret ke mahkamah adalah Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail, bukannya Tunku Ismail Sultan Ibrahim.”

Demikian pendapat disuarakan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang turut pernah berkhidmat di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai penasihat undang-undang.

Reaksi Zaid Ibrahim itu berikutan kenyataan Tunku Ismail yang mencabar mana-mana pihak untuk membawa beliau ke mahkamah beserta bukti berhubung dakwaan penglibatannya dalam kontroversi tujuh pemain warisan palsu.

“Itu tidak perlu, Tuanku. Tuanku tidak bersalah sepenuhnya. Ia mungkin idea Tuanku untuk menaturalisasikan pemain asing bagi memperkukuh skuad kita, dan mungkin juga idea Tuanku untuk merayu kepada CAS selepas FIFA mengenakan sekatan dan denda ke atas pemain-pemain tersebut.”

“Tetapi pihak yang sepatutnya disaman ialah Menteri Dalam Negeri, bersama penjawat awam yang telah membusukkan nama negara. Kerajaan Madani sepatutnya meletak jawatan dalam hal ini kerana menutup keseluruhan perkara tersebut.”

“TMJ kaya dan berkuasa, malah ada yang mengatakan baginda patut ditakuti. Namun baginda tidak mungkin dapat melakukan segala perkara salah yang dituduh oleh FIFA terhadap FAM tanpa penglibatan kerajaan.”

“Kita mempunyai masalah kekurangan ketelusan, akauntabiliti, dan kejelasan tentang apa yang sebenarnya berlaku. TMJ boleh menuntut semula populariti baginda jika baginda dapat membantu rakyat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di dalam FAM dan pejabat Menteri,” ujar Zaid ibrahim.

Terdahulu, Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) pada Khamis lalu mengekalkan penggantungan 12 bulan dikenakan FIFA ke atas tujuh pemain yang mengaku ada darah campuran, namun ia terhad kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Pada masa sama, CAS menolak rayuan FAM untuk mengurangkan hukuman sekali gus mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan oleh FIFA.

RELATED ARTICLES

Most Popular