HomeSukanHugo Boumos Tertarik Dengan Sejarah Hebat Merah Kuning

Hugo Boumos Tertarik Dengan Sejarah Hebat Merah Kuning

Selangor FC secara rasmi mengumumkan bahawa Hugo Adnan Boumous, yang beraksi di posisi pemain tengah menyerang, telah menyertai keluarga Red Giants pada jendela perpindahan kedua musim 2025/26.

Pemain kelahiran Perancis itu menyatakan cita-cita besar serta sejarah hebat kelab digelar Merah Kuning itu menjadi antara faktor membuatkannya tidak berfikir panjang menerima tawaran mereka.

“Bagi saya, Selangor FC adalah sebuah kelab besar dengan penyokong yang sangat bersemangat di Malaysia. Itu sudah cukup untuk meyakinkan saya datang ke sini sejak awal lagi. Selain itu, rakan sepasukan saya di sini adalah pemain berkualiti dengan barisan kejurulatihan yang cemerlang.

“Dari situ, saya dapat merasakan kelab ini mempunyai aspirasi besar, jadi saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ini,” katanya.

Hugo memulakan kariernya bersama Stade Laval B dengan merekodkan 51 penampilan dan menjaringkan 11 gol sebelum dinaikkan ke skuad utama Stade Lavallois.

Di sana, beliau beraksi dalam saingan Ligue 2 dan Coupe de France, membuat tiga penampilan serta menjaringkan dua gol. Beliau kemudiannya berhijrah ke Maghribi untuk menyertai Moghreb Tétouan, dengan catatan 31 penampilan dan empat bantuan gol.

Nama Hugo mula melonjak naik dalam saingan Indian Super League (ISL) menerusi prestasi cemerlangnya bersama beberapa kelab. Beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga selepas memenangi Anugerah Bola Emas ISL musim 2019/2020, hasil 47 penampilan, 20 gol dan 19 bantuan gol bersama FC Goa.

Beliau kemudian menyertai Mumbai City FC dan menyumbang enam gol serta 10 bantuan gol dalam 16 perlawanan. Seterusnya, Hugo meneruskan kejayaannya bersama Mohun Bagan SG dengan 70 penampilan, 14 gol dan 19 bantuan gol, selain membantu kelab tersebut meraih beberapa kejuaraan domestik termasuk dua ISL League Shield, dua Kejuaraan Playoff ISL, Piala Durand dan Piala Super.

Pada musim berikutnya, Hugo menyertai Odisha FC dan terus memainkan peranan penting sebagai arkitek serangan pasukan, dengan menjaringkan enam gol serta mencatat tujuh bantuan gol dalam 22 perlawanan.

Dari FC Goa hingga Odisha FC, beliau mengekalkan reputasinya sebagai pemain tengah kreatif dan berpengaruh dalam Indian Super League.

Secara keseluruhan, menurut transfermarkt.com, Hugo telah merekodkan 240 penampilan, 56 gol dan 58 bantuan gol sepanjang karier profesionalnya.

Selain itu, keupayaannya mengawal tempo permainan, mencipta peluang serta membuat keputusan tepat pada saat-saat genting dijangka mampu memperkukuhkan bahagian tengah Red Giants.

Boumos turut berjanji akan memberikan yang terbaik buat penyokong Red Giants.

“Kami masih bersaing dalam liga dan beberapa kejohanan, jadi sasaran kami adalah untuk menamatkan musim di kedudukan terbaik yang mungkin. Saya akan memberikan segalanya kepada kelab untuk membantu pasukan. Saya sangat teruja untuk bertemu penyokong dan berjumpa anda semua di stadium dalam masa terdekat,” tambahnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular