Impian Luis Suarez untuk membuat penampilan kali kelima di Piala Dunia lebur apabila namanya tidak tersenarai dalam skuad akhir 26 pemain Uruguay yang diumumkan jurulatih Marcelo Bielsa, pada Isnin.
Penyerang veteran berusia 39 tahun itu, sebelum ini tidak menutup pintu untuk kembali menyarung jersi kebangsaan selepas mengumumkan persaraan antarabangsa pada 2024, malah menyatakan kesediaan untuk membantu pasukan sekiranya diperlukan.
Bagaimanapun, bekas penyerang Barcelona dan Liverpool itu gagal mendapat tempat dalam skuad yang akan membawa cabaran Uruguay ke Piala Dunia 2026.
Sepanjang beraksi di Piala Dunia, Luis Suarez mengumpul sebanyak tujuh jaringan – tiga pada 2010 dan masing-masing dua pada edisi 2014 dan 2018. Dia gagal menjaringkan gol pada edisi 2022 di Qatar.
Luis Suarez dan Piala Dunia mempunyai banyak cerita, antaranya insiden dia menggigit pertahanan Itali Giorgio Chiellini pada edisi 2014 serta insiden handball di garisan gol ketika menentang Ghana, yang disifatkan momen jahat terulung dalam sejarah pertandingan.
Sebelum ini, Suarez pernah mengkritik gaya pengurusan Bielsa dengan mendakwa ia menyebabkan perpecahan dalam bilik persalinan pasukan. Namun, dia kemudiannya memohon maaf atas kenyataan tersebut.
Selain Suarez, turut tersisih ialah pemain tengah berpengalaman, Nahitan Nandez yang sebelum ini sering menjadi pilihan Bielsa dalam kempen kelayakan.
Keputusan itu dilihat selari dengan pendekatan Bielsa yang semakin memberi kepercayaan kepada pemain dalam usia kemuncak berbanding bergantung kepada tonggak veteran.
Uruguay dijangka bergantung kepada kekuatan barisan pertahanan yang diketuai Ronald Araujo, Jose Maria Gimenez dan Mathias Olivera.
Di bahagian tengah, kehadiran Federico Valverde, Rodrigo Bentancur, Manuel Ugarte dan Nicolas de la Cruz dijangka menjadi nadi utama pasukan menerusi corak permainan berintensiti tinggi yang menjadi identiti Bielsa.
Sementara itu, jentera serangan akan dipimpin Darwin Nunez meskipun penyerang berkenaan kurang beraksi di peringkat kelab selepas tidak lagi diturunkan dalam saingan Liga Pro Saudi bersama Al-Hilal sejak Februari lalu.
Nunez kehilangan tempat dalam skuad utama kelab itu selepas rombakan kuota pemain import susulan ketibaan bekas pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema.
Uruguay yang diundi dalam Kumpulan H akan memulakan kempen menentang Arab Saudi pada 15 Jun sebelum berdepan Cape Verde dan Sepanyol dalam baki aksi peringkat kumpulan.
Senarai penuh skuad Piala Dunia Uruguay:
Penjaga gol: Sergio Rochet, Fernando Muslera, Santiago Mele
Pertahanan: Guillermo Varela, Ronald Araujo, Jose Maria Gimenez, Santiago Bueno, Sebastian Caceres, Mathias Olivera, Joaquin Piquerez, Matias Vina
Tengah: Manuel Ugarte, Emiliano MartÃnez, Rodrigo Bentancur, Federico Valverde, Agustin Canobbio, Juan Manuel Sanabria, Giorgian De Arrascaeta, Nicolas De La Cruz, Rodrigo Zalazar, Facundo Pellistri, Maximiliano Araujo, Brian Rodriguez
Penyerang: Rodrigo Aguirre, Federico Vinas, Darwin Nunez



