HomeImport Paraguay Shammir Olmedo Perkuat Benteng Kedah

Import Paraguay Shammir Olmedo Perkuat Benteng Kedah

Kedah memperkuatkan cabaran menerusi sentuhan import Paraguay, Shammir Olmedo Ayala.

Pendatang baru, Kedah jelas tidak mahu kehadiran mereka dipandang sepi dalam saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) musim ini.

Naib juara Divisyen Dua musim lepas itu, mengumumkan telah merekrut fixo import dari Paraguay, Shammir Olmedo Ayala untuk memperkuatkan pasukan.

Shammir membawa bersama pengalaman beraksi di beberapa kelab ternama, antaranya menyarung jersi Cerro Porteño di Paraguay sebelum berhijrah ke Mexico bersama Simón Bolívar untuk membantu pasukan itu menjuarai Copa de Oro 2022.

Manakala pada musim lalu, Shammir beraksi di Thailand bersama J.T. Truck dan kini bersedia membawa sentuhan antarabangsa ke Kedah.

“Tidak hanya cemerlang di peringkat kelab, beliau juga pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan Paraguay untuk Sukan Amerika Selatan 2018 di Bolivia. Lebih menarik, sejak 2013 lagi, beliau sudah menunjukkan taringnya apabila membantu Paraguay meraih pingat gangsa Copa Centroamericana dengan dua gol penting menentang Honduras.

“Kehadiran ‘Tembok Paraguay’ ini pasti menjadi suntikan kekuatan buat Kedah dalam saingan MPFL musim ini,” menurut kenyataan oleh Persatuan Bolasepak Kedah.

Kehadiran Shammir juga bermakna Kedah melengkapkan kuota dua pemain import, setelah terdahulu mengekalkan khidmat penjaring terbanyak mereka musim lalu, Nattawat Luksanato.

Baca Juga: Penyokong Pahang Rangers Gembira Felipe Tidak Lari Ikut Pintu Belakang

Nattawat atau mesra dengan panggilan Faeng, pada musim lalu tampil dengan prestasi luar biasa apabila menjaringkan 15 gol dalam 13 perlawanan termasuklah tiga kali hatrik dalam laluan membantu skuad hijau kuning muncul naib juara Divisyen Dua dan membawa mereka ke suku akhir Malaysia Futsal Cup.

Dalam Divisyen Satu musim ini yang akan membuka tirai pada 8 Mac depan, Kedah akan berentap bersama-sama tujuh pasukan lain iaitu juara bertahan JDT, Pahang Rangers, Selangor, KL City, Selangor TOT, Sabah dan Malaysian University.

Sebagai makluman, JDT merangkul kejuaraan berganda musim lalu, dengan Selangor pula terpaksa berpuas hati dengan pencapaian selaku naib juara berganda.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!