HomeSukan"Jangan Beri Tekanan Berlebihan, Kena Realistik" - Peter Cklamovski

“Jangan Beri Tekanan Berlebihan, Kena Realistik” – Peter Cklamovski

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang kepada penyokong bolasepak tanah air.

Dalam masa sama beliau juga berharap penyokong tidak memberi tekanan berlebihan, dan bersikap lebih realistik.

“Usaha keras adalah kunci kejayaan. Banyak kerja yang perlu dilakukan. Kita boleh mengimpikan sesuatu yang besar, tapi kita kena sedar dan perlu sentiasa ‘humble’ dan berusaha keras untuk mencapai sasaran,” kata Cklamovski yang sudahpun melapor diri untuk memulakan tugas.

Beliau ditemui pemberita ketika majlis menandatangani perjanjian antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan PUMA di Sunway pada Khamis.

Cklamovski yang terdahulu membimbing FC Tokyo, turut menegaskan bahawa tiada pemain yang akan menerima layanan VIP dan mendapat tempat automatik dalam skuad Harimau Malaya.

“Semua pemain ada peluang untuk membuktikan sesuatu dan berpeluang mewakili negara. Tidak kira siapa anda, tetapi semua ada peluang untuk bermain,” tambahnya.

Baca Juga: “Sampai Bila Mahu Bergantung Kepada Orang Luar”

Ditanya mengenai keputusannya menyertai Harimau Malaya, Cklamovksi berkata ia didorong oleh visi Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu merevolusikan Harimau Malaya.

“Baginda seorang yang berwawasan. Tanpa semangat, keazaman dan visi baginda untuk projek ini, ia tidak akan menjadi seperti ini. Jadi, bagi saya yang melihat semangat dan keazaman baginda, ia satu keputusan yang mudah untuk saya terima tawaran melatih Harimau Malaya.

“Ia satu penghormatan untuk mewakili baginda dan semua orang di Malaysia untuk membawa negara ini ke arah yang tepat,” jelasnya.

Pengendali berasal dari Australia itu berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan termasuk pernah menjadi penolong jurulatih Australia serta membimbing beberapa kelab di Liga Jepun.

Tugasan pertama Cklamovski adalah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung pada Mac depan di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan F bersama juara Asean iaitu Vietnam, Laos dan Nepal.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!