Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini telah mengesahkan pendaftaran empat pemain warisan palsu sebagai pemain tempatan adalah mematuhi peraturan pertandingan Liga Malaysia 2025/26.
Mereka adalah tiga pemain JDT iaitu Joao Figueireido, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta Gabriel Palmero yang menyarung jersi Kuching City.
MFL menjelaskan manual liga menetapkan pemain boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dengan memuat naik salinan kad pengenalan atau pasport sah melalui sistem FIFA Connect.
Sehubungan itu, empat pemain terbabit telah melengkapkan proses pendaftaran menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Justeru MFL menegaskan tiada pelanggaran peraturan dilakukan oleh kelab terbabit dalam pendaftaran pemain berkenaan bagi musim 2025-26.
Ini sekaligus bermakna kempen domestik JDT dan Kuching City tidak terjejas. Kemenangan yang dilakar kedua-dua pasukan ketika menurunkan pemain-pemain terbabit tidak akan dibatalkan yang sekaligus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong.
Keputusan itu juga menyaksikan JDT kini menghampiri gelaran Liga Super ke-12 berturut-turut. Mereka akan ditabal juara seandainya menewaskan Brunei DPMM pada Ahad, manakala Kuching City pula sedang bersaing sengit untuk memburu kedudukan naib juara.
Bagi bekas pemain kebangsaan yang juga pemerhati bolasepak tanah air, Azlan Johar beliau berharap situasi pelik ini tidak membunuh semangat pemain tempatan dan juga bola sepak Malaysia.
“Bola sepak Malaysia tidak boleh mati, bola sepak Malaysia harus hidup dengan cemerlang,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Sejak muncul juara pertama kali pada 2014, belum ada pasukan berjaya memecahkan dominasi JDT selaku juara Liga Super. Konsistensi dan kejayaan mereka cukup dikagumi, malah sentiasa mendapat pujian.
Cuma, ini kali pertama pemerhati, pengkritik dan penyokong merasakan kemenangan mereka seperti tidak berlaku dengan cara yang betul disebabkan kontroversi pemalsuan dokumen pemain warisan.



