HomeSukanJDT Sambar Dua Tonggak Harimau Malaya Dari Pahang Rangers

JDT Sambar Dua Tonggak Harimau Malaya Dari Pahang Rangers

Dua tonggak Pahang Rangers yang juga pemain kebangsaan, Zainulzahin Sinuan dan Norakmal Norizal sah menjadi milik Johor Darul Takzim (JDT) bagi mengharungi musim baru Malaysian Premier Futsal League.

Sepertimana dilaporkan Otai Station pada 9 Februari lalu, dua lagi pemain kebangsaan dari sebuah kelab berpangkalan di pantai timur akan menyertai JDT.

Dan selepas kira-kira dua minggu, pasukan yang dimaksudkan iaitu Pahang Rangers pada Rabu, mengesahkan perpindahan Zainulzahin dan Norakmal, dengan memaklumkan kedua-dua mereka dilepaskan menerusi bayaran perpindahan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Tindakan profesional JDT ini sekaligus menepis cakap-cakap dalam kalangan penyokong Pahang Rangers bahawa kelab itu sedang cuba mendapatkan dua tonggak mereka melalui pintu belakang.

Untuk rekod, Zainulzahin merupakan produk Akademi Pahang Rangers yang telah bersama kelab itu sejak 2018. Dia menapak selaku penjaga gol utama pasukan pada 2023, susulan pemergian Victor Espindola dan tampil cemerlang pada musim pertamanya dengan membantu Pahang Rangers menjulang kejuaraan berganda.

Ia sekaligus menyaksikannya dinobatkan Penjaga Gol Terbaik Kebangsaan serta panggilan ke skuad kebangsaan. Bersama Harimau Malaya, dia membantu pasukan layak secara merit ke Piala Asia 2026 selain memenangi pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025.

Norakmal pula diserap ke skuad utama Pahang Rangers pada 2024 meskipun pada awalnya hadir untuk pemilihan SUKMA Pahang tahun tersebut. Dia kemudiannya berkembang menjadi pemain penting skuad utama serta menerima panggilan ke skuad kebangsaan buat pertama kali pada September lalu.

“Zainulzahin dan Norakmal merupakan antara cerminan kejayaan pembangunan bakat Pahang Rangers. Bayaran perpindahan kedua-dua pemain ini akan digunakan untuk terus memperkasa program pembangunan pemain muda dan melahirkan lebih ramai bakat futsal Pahang pada masa hadapan,” menurut kenyataan Pahang Rangers.

Dengan kehilangan Zainulzahin, Pahang Rangers kini menyandarkan kepada dua lagi penjaga gol berpengalaman Amiro Izzat dan Afiq Abdul Rahman selain beberapa penjaga gol muda dari skuad pembangunan – Pahang Rangers B – juga mungkin akan diserap ke skuad utama.

Pasukan itu setakat ini belum mengumumkan sebarang kemasukan pemain baru, malah kerusi ketua jurulatih juga masih belum diisi bagi menggantikan Luis Fonseca Cilleros.

RELATED ARTICLES

Most Popular