Badi kad merah terus menghantui Chelsea nampaknya.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, berang dengan kad merah lewat yang diterima Liam Delap ketika pasukannya membenam Wolverhampton Wanderers 4-3 dalam aksi Piala Liga, pada Rabu.
Liam Delap merupakan penerima kad merah kelima Chelsea musim; selepas Robert Sanchez (vs Manchester United), Trevoh Chalobah (vs Brighton), Maresca sendiri (vs Liverpool), Joao Pedro (vs Benfica) dan Malo Gusto (vs Nottingham Forest).
Penyerang itu yang baru kembali beraksi selepas hampir dua bulan berehat akibat kecederaan hamstring, dimasukkan sebagai pemain gantian selepas 60 minit perlawanan berlangsung bagi menggantikan Estevao.
Namun, dia yang kelihatan masih bergelut dengan kecergasan menerima kad kuning pertama selepas menolak Yerson Mosquera pada minit ke-79 sebelum melakukan terjahan ke atas Emmanuel Agbadou tujuh minit kemudian dan dilayangkan kad kuning kedua, sekaligus diarah keluar padang.
“Sudah pasti hari ini juga kami menerima satu lagi kad merah yang sangat bodoh dan langsung tidak perlu,” kata Maresca kepada pemberita.
Apabila ditanya sama ada kad merah itu layak diberikan, Maresca menjawab: “Sudah tentu ya. Satu kekasaran yang bodoh. Kad merah yang memalukan. Sebab ia dua kad kuning dalam masa tujuh minit. Kedua-duanya sebenarnya boleh dielakkan.”
“Selepas kad kuning pertama, saya sudah beritahu dia empat atau lima kali supaya bertenang, jangan buat kesilapan bodoh. Tapi Liam ialah pemain yang bila dia berada di atas padang, dia terlalu tenggelam dalam permainan sendiri dan sukar untuk mendengar apa-apa di sekelilingnya. Tak sampai dua minit dia angguk tanda faham, dia buat kekasaran bodoh itu.”
Maresca sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk “menghukum” pemain yang menerima kad merah.
“Saya ada empat orang anak. Bila mereka buat salah, saya tak hukum mereka. Saya cuba ajar mereka untuk buat perkara yang betul. Saya juga cuba lakukan perkara yang sama dengan pemain,” katanya minggu lalu.
Chelsea yang kini berada di tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris, akan berkunjung ke gelanggang Tottenham Hotspur pada Sabtu ini.



