HomeSukan"Kalau Bola Tak Mahu Masuk, Memang Takkan Masuk"

“Kalau Bola Tak Mahu Masuk, Memang Takkan Masuk”

Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente menegaskan tiada sebab untuk panik selepas pasukannya terikat tanpa jaringan menentang pasukan yang dianggap kerdil dalam Piala Dunia, Cape Verde, pada Isnin.

Fuente menyatakan para pemainnya berhak untuk terus percaya kepada kemampuan sendiri apatah lagi mereka membawa reputasi gah selaku juara Euro 2024 dengan rekod tanpa kalah yang cemerlang.

Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan, namun gagal menukar penguasaan tersebut kepada gol apabila berdepan pasukan Cape Verde yang berdisiplin tinggi dan bertahan dengan baik sehingga menyukarkan rentak juara Eropah itu di kawasan serangan.

“Pasukan yang mencatat lebih 30 perlawanan tanpa kalah tidak sepatutnya mempunyai sebarang keraguan kepada kemampuan sendiri,” kata De la Fuente dalam sidang media sambil merujuk kepada konsistensi Sepanyol sepanjang lebih tiga tahun.

“Penyelesaiannya adalah untuk terus berpegang kepada pendekatan yang sama dan terus memperbaiki beberapa aspek dengan lebih kemas. Kami mencipta banyak peluang, tetapi kurang ketajaman yang diperlukan dalam perlawanan seperti ini. Mereka sangat tersusun. Mereka bertahan secara berpasukan dan sangat sukar untuk mencari ruang,” ujarnya.

De la Fuente mengakui Sepanyol kurang tajam dan tidak begitu lancar dalam permainan mereka, namun menegaskan pasukannya tetap menunjukkan niat untuk menyerang.

“Kami kurang pergerakan dan kesegaran, tetapi apabila bola tidak mahu masuk ke dalam gawang, memang ia tidak akan masuk,” katanya.

“Kami mempunyai percubaan ke arah gol, peluang-peluang serta keinginan untuk menyelesaikan perlawanan dengan jaringan awal. Kami tahu perlawanan seperti ini sangat sukar dan amat mencabar untuk meraih kemenangan di sini.”

Sepanyol menamatkan perlawanan dengan Lamine Yamal dan Nico Williams berada di atas padang selepas kedua-duanya dimasukkan pada lewat babak kedua, ketika De la Fuente menguruskan proses pemulihan mereka daripada kecederaan hamstring.

“Matlamat kami adalah untuk membawa mereka kembali secara berperingkat dan memberikan minit permainan. Saya yakin mereka akan terus meningkat, seperti yang ditunjukkan ketika menentang Arab Saudi, dalam perlawanan seterusnya dan juga selepas itu,” ujarnya lagi. – Reuters

RELATED ARTICLES

Most Popular