HomeSukan"Lesen Sahaja Mana Cukup, Pengalaman Pun Penting"

“Lesen Sahaja Mana Cukup, Pengalaman Pun Penting”

Pemerhati sukan tanah air, Sadek Mustafa menyuarakan kebimbangannya terhadap tahap kemahiran pemain-pemain muda negara yang dilihat masih belum setanding dengan silibus bolasepak antarabangsa.

Beliau tidak berselindung dalam menyatakan peranan jurulatih khususnya di peringkat pembangunan akar umbi tidak cukup bagus untuk memberikan pendedahan sewajarnya buat pemain-pemain muda.

“Maaf cakap, guru-guru bola sepak kita pun kurang pengalaman di peringkat tinggi. Lesen atau sijil semata-mata tak cukup kalau tiada pengalaman.

“Untuk hasilkan anak murid yang cemerlang, guru pun mesti cemerlang dari segi pengalaman dan pendedahan antarabangsa,” ujarnya dilaporkan Sukan Sinar.

Menurut Sadek lagi, banyak perkara yang perlu dinilai kembali melihatkan begitu banyak kelompongan yang timbul sekaligus memerlukan masa untuk program pembangunan berada pada tahap lebih baik.

Untuk itu, Sadek menyarankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk menilai secara serius kelemahan dalam sistem pembangunan bola sepak.

“Memang kita ada cita-cita besar, nak lahirkan lebih ramai bakat seperti Arif Aiman. Tetapi, apa perancangan untuk mengatasi kelemahan yang kita ada?

“Kalau ada sistem yang betul dan barisan pembangunan yang mantap, bukan setakat Arif Aiman Hanapi, Lionel Messi pun Malaysia boleh lahirkan.

“FAM perlu berjumpa dengan setiap persatuan bola sepak negeri, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk melihat apa yang boleh dilakukan setelah sekian lama sistem pembangunan kita kurang berkesan,” tegasnya.

Baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan yang juga Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh menyatakan bahawa lebih ramai Arif Aiman boleh dilahirkan sekiranya Akademi Mokhtar Dahari (AMD) diletakkan di bawah FAM.

AMD telah ditubuhkan pada 2014 menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bertujuan menyediakan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat dalam kalangan pelatih.

Namun, program itu dinilai masih belum berjaya sebaiknya terutama untuk melahirkan para pemain berkualiti untuk beraksi di peringkat tertinggi.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!