Susulan beberapa keputusan kurang tepat dilakukan oleh pengadil dan pembantu pengadil video (VAR) pada aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan JDT pada minggu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia mengesahkan tindakan telah diambil ke atas pegawai perlawanan terbabit.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan Jawatankuasa Penilaian Prestasi sudah menilai prestasi mereka secara menyeluruh termasuk analisis terhadap insiden-insiden utama yang berlaku sepanjang perlawanan terbabit.
“FAM memandang serius isu prestasi pengadil pada aksi Liga Super antara NSFC dan JDT pada 9 Januari lalu.
“Hasil penilaian mendapati terdapat beberapa keputusan yang kurang tepat dilakukan oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran dan pengadil VAR, Muhd Usaid Jamal khususnya berkaitan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 – “Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan”.
“Sehubungan itu, FAM memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil terbabit kepada fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu bagi memperbaiki prestasi mereka,” kata Noor Azman.
Dalam masa sama, Noor Azman turut mengesahkan Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Penilaian Prestasi sudah menghantar surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan termasuk Penilai Pengadil yang terbabit untuk menghadiri sesi ‘Postmatch Debriefing’ di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Rabu.
“Objektif utama sesi tersebut adalah untuk menilai dan membimbing pegawai perlawanan agar mereka dapat memperbaiki setiap kelemahan.
“FAM tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan kualiti pengadilan dan akan memanggil mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi yang lemah untuk bimbingan dan pemulihan prestasi,” katanya.
Terdahulu, prestasi Logeswaran menjadi perhatian apabila tidak mengendahkan kekasaran dilakukan Eddy Israfilov yang menyiku penyerang import NSFC, Joseph Esso di babak pertama perlawanan di Paroi tempoh hari.
Dia juga dikecam hebat kerana melanjutkan masa perlawanan melebihi tujuh minit masa kecederaan yang diberikan, sehinggakan JDT berjaya mendapatkan jaringan tunggal pada minit akhir menerusi Manuel Hidalgo.



