“Tiada gunanya bercakap tentang benda yang sudah lepas, lupakan sahaja dan biarlah ia menjadi sejarah,” demikian pendapat Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin, mengenai isu pemain warisan yang mencemarkan maruah negara.
Menurut Hamidin, kontroversi itu tidak sepatutnya terus dibicarakan dan dijadikan sebagai highlights, ataupun topik utama dalam kalangan media mahupun penyokong bolasepak tempatan. Baginya, adalah lebih penting semua ‘move on’ dan fokus kepada agenda untuk membangunkan semula bolasepak tanah air.
Mudah sungguh berkata-kata setelah pelbagai kerosakan berlaku kepada imej, reputasi, maruah dan integriti bukan sahaja pasukan bolasepak Harimau Malaya, tetapi kepada nama Malaysia secara amnya.
Pada Oktober lalu, FIFA mengenakan tindakan ke atas FAM dan tujuh pemain warisan palsu Malaysia selepas mendapati bahawa sijil kelahiran palsu telah digunakan untuk membuktikan kelayakan dan memberikan mereka kewarganeraan menjelang kempen kelayakan Piala Asia tahun lalu.
Siasatan FIFA mendapati dokumen tersebut secara palsu mendakwa bahawa pemain-pemain berkenaan mempunyai datuk atau nenek yang dilahirkan di Malaysia, sedangkan ahli keluarga mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Pemain yang terlibat ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
FIFA mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss dan digantung selama 12 bulan.
Pada Mac lalu, Court of Arbitration for Sport (CAS) sebahagiannya membenarkan rayuan pemain-pemain terbabit dengan mengehadkan penggantungan itu kepada perlawanan rasmi sahaja, dan bukannya semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Namun begitu, CAS tetap mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan atas kesalahan memalsukan dokumen, sambil menyifatkan hukuman tersebut sebagai “munasabah dan setimpal”. Tribunal itu turut menegaskan bahawa para pemain berkenaan berkongsi tanggungjawab dalam penipuan tersebut.
CAS juga menolak rayuan FAM terhadap denda yang dikenakan, sekali gus memberikan pengajaran yang mahal buat badan induk bola sepak negara itu bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya.
Malah, skandal itu jugalah yang menyebabkan keseluruhan Jawatankuasa Eksekutif FAM tumbang pada awal tahun ini. Kesemua Exco FAM bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada Januari selepas kontroversi naturalisasi tersebut berkembang menjadi satu aib di peringkat antarabangsa.



