Daripada seorang pemain yang tidak dikenali dan sedang menjalani kehidupan normal, Imanol Machuca tiba-tiba menjadi tumpuan peminat bolasepak dunia – semuanya selepas debut singkat selama 17 minit bersama Harimau Malaya ketika menentang Vietnam yang bertukar menjadi episod malang dalam kariernya.
Dia bersama enam lagi pemain berdepan saat sukar apabila didakwa atas kes pemalsuan dokumen, digantung 12 bulan oleh FIFA daripada sebarang aktviti bolasepak, dan lebih teruk dunia melihatnya sebagai orang yang tidak jujur.
Pemain dari Argentina itu akhirnya dapat menarik nafas lega, diberikan penangguhan hukuman sementara yang membolehkannya kembali aktif dalam bolasepak tatkala dalam masa sama sedang berjuang membersihkan namanya di CAS.
Imanol Machuca mahu belajar melupakan pengalaman perit itu, dia kini lebih tenang dan fokusnya hanyalah kembali bangkit bersama Velez Sarsfield, kelab di negara kelahirannya.
“Ia pengalaman yang perit, tapi apa yang berlaku sudah berlalu. Sekarang saya fokus kepada Velez dan dan kini lebih tenang. Saya bersyukur kerana semuanya sudah dapat diselesaikan selepas mengharungi tempoh empat bulan yang rumit.
“Perkara itu sudah ditinggalkan dan saya fokus pada masa depan. Apa yang pasti, pengalaman ini menjadikan saya lebih kuat dan buat masa ini saya gembira kembali menyarung jersi Velez,” katanya dipetik dari Arena Metro.
Pada Sabtu lalu, Machuca membuat penampilan pertama dalam tempoh empat bulan selepas diturunkan sebagai pemain gantian ketika Velez seri 1-1 menentang Defensa Justicia dalam aksi Liga Argentina.
“Saya teruja untuk kembali bermain, tetapi dalam masa sama sedar masih memerlukan masa sebelum benar-benar cergas. Buat masa ini fizikal saya masih baik walaupun sebelum ini hanya berlatih sendiri tetapi ia berbeza dan saya masih kekurangan minit permainan untuk aksi kompetitif,” tambahnya.
Untuk rekod, Machuca beraksi satu perlawanan sahaja bersama Harimau Malaya ketika menewaskan Vietnam 4-0 dalam kelayakan Piala Asia 2027 dan selepas itu terlepas panggilan ke kem kebangsaan atas pelbagai sebab.
CAS akan membuat keputusan akhir mengenai kes Machuca dan enam lagi pemain – Jon Irazabal, Joao Figueireido, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces pada 26 Februari, sama ada hukuman penggantungan 12 bulan ke atas mereka dikekalkan, dipinda atau dibatalkan.



