HomeRencanaMomen Rare Pilihan: Penilai Pengadil Dianggap Penceroboh

Momen Rare Pilihan: Penilai Pengadil Dianggap Penceroboh

Penilai Pengadil dianggap sebagai penceroboh dan ditarik keluar oleh Marshall ketika berlangsungnya suku akhir Piala Futsal Malaysia antara Pahang Rangers dan Kedah.

Arena sukan tanah air menyaksikan pelbagai cerita suka-duka, pahit-manis, kisah-kisah lucu dan tidak ketinggalan insiden-insiden kontroversi serta tragedi malang tercoret sepanjang tahun 2024.

Menuju penutup tahun 2024, Otai Station mengimbau salah satu kejadian paling pelik dan melucukan yang menghiasi kalendar sukan tahun ini, yang sekaligus menjadi Momen Rare Pilihan kami.

Ia adalah insiden yang berlaku pada bulan September lalu, apabila Penilai Pengadil dianggap sebagai penceroboh dan ditarik keluar oleh Marshall ketika berlangsungnya suku akhir Piala Futsal Malaysia antara Pahang Rangers dan Kedah.

Penjelasan Isu Yang Berlaku

Ketika itu, tercetus suasana panas apabila kem Pahang Rangers membantah keputusan layangan kad kuning kedua, seterusnya kad merah oleh pengadil perlawanan kepada pemain import mereka Felipe de Souza.

Baca juga: Pahang Rangers Hilang Empat Pemain Tonggak

Felipe dilayangkan kad merah sejurus selepas meraikan jaringan kelima pasukannya, sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai apa kesalahan yang dilakukannya.

Penilai pengadil Mohd Kamir Yusof bergegas turun dari tempat duduknya untuk masuk ke gelanggang bagi mendapatkan gambaran serta penjelasan daripada pengadil dalam masa sama meleraikan situasi tegang.

Bagaimanapun, Mohd Kamir ditahan dan ditarik keluar oleh Marshall di pintu masuk dan tidak dibenarkan masuk ke gelanggang. Ini kerana dia disangkakan sebagai penceroboh atau penyokong yang mahu menyerang pengadil kerana keputusan kad merah itu.

Malah pengulas perlawanan turut terkeliru dan berkata, “Kita harapkan tiada individu-individu tidak bertanggungjawab meluru masuk ke dalam kawasan permainan. Kita berharap perlawanan tidak dicemari dengan insiden-insiden tidak sepatutnya.”

Mohd Kamir dilihat bergelut dan bertekak dengan Marshall, mungkin menjelaskan siapa dirinya namun disebabkan tiada akreditasi dipakai maka Marshall tegas tidak melepaskannya masuk.

Hanya selepas pengadil sendiri membuat pengesahan, barulah Mohd Kamir dilepaskan masuk ke kawasan teknikal, dan mendapat gambaran lebih jelas tentang insiden yang berlaku.

Pengadil dikatakan melayangkan kad kuning kedua kepada Felipe kerana pemain itu memijak A-Board penaja ketika meraikan jaringan.

Selepas berbincang dan bertukar pandangan selama beberapa minit, pengadil membuat keputusan menarik balik kad kuning dan kad merah yang dilayangkan kepada Felipe.

Begitulah pentingnya peranan Penilai Pengadil, terus membetulkan kesilapan oleh pengadil perlawanan. Namun insiden yang berlaku ini, mengingatkan kepada kita bahawa siapapun kita, sila lah pakai tag akreditasi apabila sedang bekerja lebih-lebih lagi di satu tempat yang tidak semua orang mengenali kita.

Sedangkan pemain Real Madrid, Karim Benzema pun pernah ditahan Marshall dari masuk ke Stamford Bridge kerana tak pakai tag, meskipun dia merupakan pemain berprofil tinggi dan dikenali ramai.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!