Selepas sembilan bulan berehat, saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) akhirnya bakal kembali, dengan sepak mula musim baru 2026 pada 16 dan 17 Mei depan.
Berbeza dengan musim terdahulu di mana saingan liga berlangsung dua pusingan home-away, pertandingan musim ini kembali kepada format karnival membabitkan sembilan sirkit di tiga venue terpilih iaitu Stadium Tertutup Pasir Gudang, Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam dan Stadium Sukpa Kuantan.
Sirkit 1, 2 dan 8 akan berlangsung di Pasir Gudang; Sirkit 3, 5, 6 dan 9 di Shah Alam manakala Sirkit 4 dan 7 di Kuantan – lapan daripada sembilan pasukan akan bermain dua perlawanan pada setiap sirkit.
Sembilan pasukan yang mengambil bahagian kali ini adalah empat pasukan musim lalu iaitu JDT, Selangor, Pahang Rangers dan KL City serta lima pasukan baru iaitu PFA Odin Sarawak, Terengganu, ATM, Wipers dan USM FC.
Juara bertahan JDT akan membuka kempen menentang USM FC yang juga juara Divisyen II musim lalu pada 16 Mei. Namun tumpuan penyokong futsal tanah air terarah kepada pertembungan ‘blockbuster’ antara skuad Harimau Selatan itu dan Pahang Rangers pada keesokan harinya yang sekaligus akan menjadi highlight bagi minggu pertama saingan.
Kedua-dua pasukan mempunyai sejarah pertembungan yang cukup tegang dan penuh drama, dengan pertemuan terakhir di Pasir Gudang pada musim lalu menyaksikan Pahang Rangers menewaskan JDT dengan keputusan 8-4 dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia.
Berikut jadual bagi Sirkit 1 (Pasir Gudang):
Sabtu (16 Mei 2026)
PFA Odin Sarawak vs KL City (10 pagi)
Wipers vs Selangor FC (1.30 tgh hari)
ATM vs Pahang Rangers (5 petang)
JDT vs USM FC (8.30 malam)
Ahad (17 Mei 2026)
PFA Odin Sarawak vs Terengganu (10 pagi)
Selangor FC vs KL City (1.30 tgh hari)
ATM vs USM FC (5 petang)
JDT vs Pahang Rangers (8.30 malam)



