HomeSukanMPFL: Luis Fonseca Yakin Boleh Kejutkan JDT

MPFL: Luis Fonseca Yakin Boleh Kejutkan JDT

Pertemuan juara bertahan dan bekas juara Malaysian Premier Futsal League (MPFL), Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang Rangers di Pasir Gudang pada Sabtu ini bakal memberi impak besar dan indikasi awal kepada halatuju kejuaraan musim ini.

Meskipun saingan Divisyen Satu membabitkan lapan pasukan baru berlangsung dua perlawanan, kemenangan 3-0 ke atas naib juara musim lalu, Selangor minggu lepas menyaksikan JDT sudahpun membuka jurang awal terhadap pencabar terdekat mereka.

Justeru, jika mereka berjaya menewaskan satu lagi pencabar terdekat – Pahang Rangers – maka secara kasarnya boleh disimpulkan ia adalah penamat anti-klimaks bagi kejuaraan musim ini.

Tetapi jika Pahang Rangers berjaya mencuri mata, ia akan menyaksikan saingan kekal terbuka setidak-tidaknya sehingga ke pusingan kedua MPFL.

Menyedari hakikat itu, pengendali Pahang Rangers, Luis Fonseca Cilleros, berjanji tidak memberi laluan mudah, dalam masa sama berkeyakinan tinggi barisan pemainnya boleh mencipta kejutan ke atas Harimau Selatan.

“Ia pastinya satu perlawanan sukar menentang juara bertahan di gelanggang mereka, yang beraksi cemerlang setakat ini. Tetapi kami menuju ke perlawanan ini juga dalam kondisi yang baik.

“Secara fizikal, kami mempunyai mentaliti seorang pemenang, sudah cukup bersedia untuk berentap, tampil dengan permainan berintensiti tinggi, menyukarkan lawan dan melakukan segala yang terdaya untuk membawa pulang keputusan yang baik.

“Saya rasa kami mempunyai peluang mencipta kejutan ke atas JDT kerana pasukan bermain dengan cukup baik, tiada kecederaan dan lebih dari itu, cukup fokus terhadap aksi ini. Saya berharap kami boleh membawa pulang keputusan positif kerana perjalanan liga sangat bergantung kepada perlawanan ini.

“Jadi, kami perlu turun bermain dengan winning mentality, hormat dan tidak merendahkan lawan, dalam masa sama tampil dengan permainan bertenaga dan meyakinkan, menyudahkan setiap peluang jaringan dan lebih penting tidak melakukan kesilapan defensif sepertimana dilakukan Selangor pada perlawanan tempoh hari yang menyebabkan mereka tewas kepada JDT.

“Kita harus menetapkan fokus sepenuhnya mengegar gawang lawan dan mempertahankan gawang sendiri dari dibocori,” kata Luis Fonseca.

Sebagai rekod, JDT membuka kempen musim ini dengan kemenangan 8-2 ke atas Malaysian University disusuli 3-0 ke atas Selangor. Pahang Rangers pula bermula dengan kemenangan 4-2 ke atas KL City sebelum menewaskan Malaysian University 6-2.

Dengan enam mata dari dua perlawanan, hanya JDT dan Pahang Rangers masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan musim ini.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!