HomeSukanOng Kim Swee Sertai Kelab di Zon Penyingkiran Liga 1 Indonesia

Ong Kim Swee Sertai Kelab di Zon Penyingkiran Liga 1 Indonesia

Setelah membuat keputusan meninggalkan Sabah sejurus kontraknya tamat hujung bulan ini, Dato’ Ong Kim Swee nampaknya memilih untuk berkelana ke Indonesia.

Beliau secara rasminya diumumkan sebagai ketua jurulatih baru Persis Solo, kelab Liga 1 Indonesia pada Isnin setelah beberapa hari Media Indonesia membuat spekulasi tersebut

Persis Solo ketika ini bergelut di zon penyingkiran Liga 1, setelah mengutip hanya tujuh mata daripada 11 perlawanan.

Ong Kim Swee yang merupakan bekas pengendali skuad Harimau Muda dan Harimau Malaya, membimbing Sabah selama tiga musim bermula 2021. Beliau ketika itu menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto.

Baca juga: Kenali Wan Rohaimi, Antara Jurulatih Terbaik Dilahirkan NFDP

Di bawah bimbingannya, Sabah mencatatkan beberapa pencapaian hebat dalam saingan Liga Malaysia termasuklah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan top 3 untuk dua musim berturut-turut.

Beliau juga membimbing Sabah mara ke separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN musim lalu.

Perlawanan Piala Malaysia menentang PT Athletic pada Sabtu, yang mana Sabah menang 4-0 merupakan perlawanan terakhir kendaliannya. Ia diraikan dengan penuh sentimental dan emosi oleh keseluruhan pasukan.

Kenyataan Ong Kim Swee

“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai ketua jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.

“Selama 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa.

“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini.

“Kepada para pemain, saya amat berbangga dengan segala usaha dan pencapaian kita sebagai satu pasukan. Komitmen dan profesionalisme anda sama ada di atas ataupun luar padang adalah luar biasa. Bekerja bersama anda adalah satu penghormatan besar bagi saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada penyokong Sabah, yang disifatkannya sangat bermakna kepada pasukan.

“Anda (penyokong) adalah nadi kelab ini. Sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang.

“Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” tambahnya.

Sedikit Latar Belakang Ong Kim Swee

Tarikh lahir: 11 Disember 1970
Asal: Melaka

Karier sebagai pemain: Melaka, Sarawak, Sabah
Karier sebagai jurulatih: Melaka, Harimau Muda (Skuad B-23), Malaysia (skuad senior), Skuad B-22, Sabah

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!