Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente jelas bingung apabila memikirkan tentang apa terjadi dengan permainan barisan pemainnya ketika menentang Timor Leste dalam aksi Piala ASEAN pada Rabu.
Malaysia hampir mencatat kekalahan paling mengaibkan dalam sejarah, apabila Timor Leste – pasukan paling lemah dalam sejarah pertandingan – bangkit untuk mendahului 2-1 di separuh masa pertama.
Dua gol di separuh masa kedua oleh Paolo Josue, membantu Harimau Malaya mencatat kemenangan tipis 3-2 di Stadium Nasional, tetapi jelas ia adalah keputusan yang tidak boleh dibanggakan.
Baca juga: Malaysia Bangkit Elak Kekalahan Paling Mengaibkan Dalam Sejarah
Skuad negara bermain seperti tiada pedoman di separuh masa, mengambil sehingga 37 minit untuk membuka jaringan menentang pasukan yang dibelasah 10-0 oleh skuad kedua Thailand dalam aksi pertama.
Ditambah dengan pemilihan kesebelasan utama yang tidak kompeten, segalanya serba tidak kena dan kelihatan huru-hara buat Harimau Malaya.
“Ia adalah perlawanan yang sukar, apa yang berlaku pada separuh masa pertama adalah sesuatu yang agak sukar dijelaskan. Kadang-kadang kita kena terima apa yang berlaku tidak seperti yang dirancang.
“Tetapi apa yang penting adalah keputusan akhir serta pengajaran yang kita dapat dari perlawanan ini. Kita perlu berjuang setiap saat untuk dapatkan apa yang kita mahu.
“Apabila semua serba tidak menjadi, nasib tidak menyebelahi, berdepan masalah kecederaan ketika perlawanan dan bolos pula dua gol, kita tetap perlu berjuang. Segalanya bergantung kepada usaha kita.
“Memang sangat sukar, tetapi kita menang dan mencapai sasaran meraih tiga mata,” ujar Pau Marti selepas perlawanan.
Selepas ini, skuad negara akan berdepan Thailand (14 Disember) dalam aksi ketiga di Bangkok.