Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung tindakan sebuah resort di kawasan Permas yang didakwa mempromosikan diri secara palsu sebagai rakan kongsi rasmi kelab berkenaan.
Dalam satu kenyataan, JDT menegaskan bahawa kelab itu tidak pernah menjalinkan sebarang bentuk kerjasama, penajaan atau perkongsian strategik dengan resort terbabit, sekali gus menafikan dakwaan yang dibuat melalui bahan promosi pihak berkenaan.
Susulan perkara itu, satu laporan polis telah dibuat semalam bagi melindungi kepentingan kelab serta mengelakkan orang awam dan penyokong daripada terus terkeliru akibat penggunaan nama dan jenama JDT tanpa kebenaran.
JDT turut memaklumkan bahawa pihak kelab telah melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi mengambil tindakan segera, termasuk menurunkan sepanduk dan bahan promosi yang memaparkan nama serta logo JDT di resort tersebut. Penurunan bahan berkaitan JDT itu telah dilakukan sebanyak dua kali.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis juga dilaporkan telah merakamkan satu kenyataan susulan berhubung laporan terdahulu yang dibuat berkaitan penyalahgunaan nama dan jenama JDT oleh sebuah akaun media sosial, yang menyamar sebagai kedai dalam talian rasmi kelab.
Sebelum ini, JDT memaklumkan bahawa kelab itu sedang menjalankan usaha berterusan untuk membanteras penggunaan logo dan nama JDT secara tidak sah oleh pelbagai entiti komersial, dengan kerjasama rapat pihak berkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak polis serta pihak berkuasa tempatan.
Menurut kelab itu, antara pihak yang dikenal pasti menyalahgunakan logo berdaftar dan nama kelab tanpa kebenaran termasuk kedai atas talian, resort, operator lawatan, syarikat bas, penjual barangan kemas, pengeluar barangan tidak rasmi serta beberapa akaun media sosial yang mendakwa sebagai akaun rasmi kelab.
JDT menegaskan bahawa kelab tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk perintah mahkamah terhadap mana-mana pihak yang enggan bekerjasama atau terus menyalahgunakan nama dan jenama JDT, bagi memastikan integriti serta reputasi kelab terus terpelihara.



