HomeSukanPiala Dunia: Henderson Cedera, Kena Kad Kuning Tanpa Beraksi

Piala Dunia: Henderson Cedera, Kena Kad Kuning Tanpa Beraksi

England hampir pasti kehilangan khidmat Jordan Henderson akibat kecederaan serius di pergelangan tangan yang dialami ketika pemain veteran itu meraikan kemenangan dramatik ke atas Mexico dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.

Henderson dilihat tersadung papan iklan di belakang gawang ketika bersama penyokong England meraikan kemenangan 3-2 di Stadium Azteca, yang turut mengesahkan kemaraan The Three Lions ke suku akhir untuk bertemu Norway hujung minggu ini.

Pemain tengah itu tidak bangun selepas terjatuh dan kelihatan menahan kesakitan. Rakan sepasukannya segera mendapatkan bantuan sambil memanggil pasukan perubatan untuk memberikan rawatan.

Dia kemudiannya dibawa keluar menggunakan pengusung sambil diberikan bantuan oksigen, dengan beberapa pemain serta pegawai England mengiringinya menuju ke bilik persalinan.

Ketika ditanya mengenai insiden itu, pengendali England, Thomas Tuchel, mengakui beliau tidak begitu yakin dengan keadaan Henderson.

“Oh, ia tidak kelihatan baik, memang tidak baik,” katanya kepada penyiar Britain, ITV, sambil memuji semangat juang pasukannya yang terpaksa bermain dengan 10 orang susulan kad merah Jarell Quansah pada awal babak kedua.

“Itulah perkara seterusnya yang perlu kami hadapi. Kami sudah kehilangan bek kanan akibat kad merah, dan kini Jordan pula terjatuh serta mencederakan pergelangan tangannya. Keadaannya nampak agak serius.”

Masih belum dapat dipastikan jenis kecederaan sebenar yang dialami Henderson. Namun rakaman video menunjukkan kemungkinan berlaku patah tulang pada bahagian pergelangan tangan atau siku kirinya apabila tangannya tergelincir ketika cuba melompati papan iklan, menyebabkan dia mendarat dalam posisi yang sangat janggal sambil menampung badan menggunakan lengan yang sama.

Sekiranya benar berlaku patah tulang, ia hampir pasti menamatkan kempen Henderson di Piala Dunia lebih awal. Tuchel kemudian mengesahkan dalam sidang media selepas perlawanan bahawa kecederaan itu melibatkan pergelangan tangan.

Henderson juga bernasib malang apabila dilayangkan kad kuning pada perlawanan itu ketika perlawanan menuju penamat, meskipun dia tidak beraksi, gara-gara cuba mempengaruhi pengadil.

“Saya mempunyai perasaan bercampur-baur. Saya keletihan, beremosi dan sedih kerana Jordan mengalami kecederaan pada pergelangan tangannya. Ketika ini dia berada di hospital. Ia merupakan kecederaan yang agak serius. Sangat menyedihkan kerana Jordan tidak dapat bersama kami pada saat seperti ini,”kata Tuchel.

England mendahului 2-0 hasil dua jaringan pantas Jude Bellingham sebelum Julián Quiñones merapatkan kedudukan buat Mexico menjelang tamat separuh masa pertama dalam aksi yang cukup mendebarkan di Mexico City.

Pada awal babak kedua, Jarell Quansah dilayangkan kad merah. Namun Harry Kane melebarkan kedudukan England kepada 3-1 menerusi sepakan penalti pada minit ke-60 selepas Anthony Gordon dijatuhkan di dalam kotak penalti walaupun England hanya beraksi dengan 10 pemain.

Bagaimanapun, penalti yang dihadiahkan kepada Mexico selepas itu berjaya disempurnakan oleh Raúl Jiménez untuk menjadikan kedudukan 3-2, sekali gus memberi tekanan hebat kepada England sepanjang baki 21 minit permainan termasuk 11 minit masa kecederaan.

The Three Lions akhirnya berjaya mempertahankan kelebihan itu untuk mencatat kemenangan bersejarah, sekali gus menghadiahkan Mexico hanya kekalahan ketiga mereka sepanjang sejarah di Stadium Azteca dan yang pertama sejak 2013.

England juga menjadi pasukan pertama yang berjaya membolosi gawang Mexico dalam kejohanan kali ini. Namun, kecederaan serius Henderson pasti sedikit mencemarkan kegembiraan kem England menjelang aksi suku akhir menentang Norway, yang sebelum itu mengejutkan Brazil dengan kemenangan 2-1 dalam pusingan 16 terbaik.

RELATED ARTICLES

Most Popular