Kinoshi mengakui dua keputusan VAR punca tewas dan menganggap pasukannya tidak bernasib baik.
Kegagalan meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Malaysia jelas mengecewakan pengendali baru Selangor, Katsuhito Kinoshi.
Selangor tewas 1-2 di gelanggang sendiri kepada Sri Pahang dan tersingkir dengan agregat 2-3 dari pusingan 16 terbaik.
Sri Pahang mendapat dua jaringan menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-25 dan Sergio Aguero pada minit ke-84.
Penalti pertama dihadiahkan setelah pengadil membuat semakan VAR berikutan Harith Haikal menjatuhkan Mykola Ahapov. Manakala penalti kedua pula setelah Quentin Cheng dengan jelas menarik Ahapov.
Selangor pula mendapat jaringan menerusi Safuwan Baharudin pada minit ke-77. Namun sebelum itu gol Ali Olwan dibatalkan setelah VAR mengesahkan Faisal Halim berada dalam keadaan offsaid.
Justeru itu, Kinoshi mengakui dua keputusan VAR punca tewas dan menganggap pasukannya tidak bernasib baik. Begitupun beliau memilih tidak mahu menuding jari dan menerima kekalahan.
“Sudah tentu kita tahu yang kita berdepan jadual yang padat tetapi kita melakukan persiapan yang baik bagi menghadapi dua perlawanan ini.
“Kita tidak bernasib baik apabila tewas dengan dua gol pada malam ini kerana Video Bantuan Pengadil (VAR),” kata Katsuhito Kinoshi selepas perlawanan.
“Tetapi VAR adalah sebahagian daripada bola sepak jadi saya tidak boleh katakan apa-apa mengenai pengadil. Apa yang boleh kita lakukan adalah kita belajar daripada dua perlawanan ini dan cuba tampil berbeza pada aksi seterusnya menentang Cebu FC.
“Sayangnya saya tidak dapat menghadiahkan kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut kepada penyokong tetapi ini bukanlah satu perkara yang mengecewakan.
“Kita akan fokus pada perlawanan seterusnya dan saya gembira melihat pemain berjuang untuk mendapatkan gol sehingga hujung permainan,” kata Kinoshi.