Sri Pahang mempunyai kekuatan untuk menundukkan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia, meskipun beza antara dua pasukan itu bagaikan langit dengan bumi.
Demikian pendapat bekas pemain Pahang dan kebangsaan, Azamuddin Akil atau lebih dikenali sebagai Alex, sepertimana dilaporkan oleh BH Sukan.
Bagi Alex, status JDT sebagai gergasi bolasepak tanah air tidak sepatutnya menimbulkan kegusaran di kem Tok Gajah, walaupun di atas kertas pastinya semua tahu segala kelebihan adalah milik mutlak skuad Harimau Selatan.
“Secara peribadi saya lihat skuad Tok Gajah masih mampu memberi tentangan jika percaturan yang dilakukan barisan jurulatih diketuai Fandi Ahmad tepat biarpun tanpa dua pemain import iaitu Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo.
“Pemain tempatan yang akan mengisi kekosongan itu mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan serta kerjasama dan semangat berpasukan.
“Pada masa sama, Sri Pahang mempamerkan persembahan menyakinkan pada pusingan awal, suku akhir dan separuh akhir untuk membentuk pasukan yang mampu untuk memberi cabaran kepada JDT nanti,” kata Alex yang turut memuji peningkatan prestasi ditunjukkan Ibrahim Manusi dan Saiful Jamaluddin.
Baca Juga: JDT Diminta Benarkan Sahaja Hidalgo Bermain
Ssebagai rekod, Sri Pahang mara ke final selepas menyingkirkan Sabah 3-2 secara agregat, manakala JDT pula menyingkirkan Terengganu dengan agregat 6-1.
Pertemuan kedua-dua pasukan pada final yang dijadual berlangsung pada April ataupun awal Mei itu sekaligus mengulangi aksi final 2014, yang menyaksikan Pahang muncul pemenang menerusi penentuan penalti.
Dalam pada itu, bagi Fandi Ahmad, beliau berpendapat masih awal untuk bercakap tentang final namun menekankan disiplin tinggi akan menjadi kunci untuk mencipta kejutan ke atas JDT nanti.
“Sebab itu saya selalu ingatkan kepada semua pemain supaya mereka kekal fokus dan mengelakkan sebarang kesilapan mudah yang boleh merugikan pasukan.
“Saya yakin dengan mereka, saya katakana mereka boleh bermain dengan bagus tetapi perlu ubah pemikiran kerana disiplin sangat penting sepanjang perlawanan.