Pengkritik sukan terkemuka, Sadek Mustafa berpendapat perubahan dan pembaharuan yang dilaksanakan Malaysian Football League (MFL) tidak membantu menjadikan Liga Malaysia lebih baik, sebaliknya lebih teruk.
Memetik laporan NST Sports, Sadek berkata Liga Malaysia sebelum ini sudah ada satu sistem yang berfungsi dengan baik, sehinggalah MFL membuat perubahan agar ia selaras dengan kalendar bolasepak Konfederasi Bolasepak Asia dan Eropah.
Tegasnya, meskipun di mata kasar liga-liga Eropah nampak berjaya, tetapi realitinya tidak begitu dengan hutang mencecah berbillion dollar cuba disembunyikan di sebalik daya saing, tajaan lumayan dan tontonan global.
“Model bolasepak Eropah telah lama wujud. Mereka ada beberapa peringkat (divisyen), namun liga sosial mereka tetap berkembang walaupun tidak menjana pendapatan. Bolasepak di sana menyatukan komuniti, kenapa kita tidak mencuba pendekatan ini.
“Kelab seperti Manchester City dan Tottenham berada dalam hutang, tetapi model kewangan mereka bertahan melalui jumlah tajaan besar dan hak penyiaran. Mereka dapat menarik 300-400 juta penonton untuk menyaksikan siaran langsung, sesuatu yang tidak ada pada kita,” ujar Sadek.
Tambah beliau lagi, bolasepak Malaysia ketika ini berada pada tahap paling rendah sejak skandal mengatur perlawanan pada 1993-94 yang mana 84 pemain dikenakan tindakan.
“Ketika itu, penyokong berhenti pergi ke stadium setelah berasa tertipu (berikutan skandal atur perlawanan). Hari ini, perkara sama berlaku tetapi kerana masalah berbeza, antara faktor utama adalah sebab penjadualan yang lemah.
“Kita sepatutnya kekal dengan satu struktur yang telah terbukti, lengkapkan saingan Liga Super dan Piala FA dahulu dalam satu kitaran, kemudian tumpukan empat minggu terakhir kepada Piala Malaysia.
“Dulu, Piala Malaysia ada peringkat kumpulan, sebelum masuk ke peringkat kalah mati, itu membuatkan penyokong teruja dan dapat menarik penajaan. Dan struktur tersebut juga membantu pasukan yang lebih lemah.
“Malah jika ada pemain yang berpindah di pertengahan musim, nasib mereka boleh berubah. Contohnya lihat Hairuddin Omar, dia memenangi empat Piala Malaysia (2001, 2009, 2010, 2011) setelah berpindah antara kelab walaupun tidak bernasib baik dalam Liga Super,” ujarnya.
Baca Juga: Kenyataan Pedas TMJ – “Level Bodoh Tahap Apa Ni?”
Sadek turut mengkritik mutu pengadilan, dengan menyatakan kemerosotan Liga Malaysia adalah bukti jelas dengan keputusan-keputusan yang boleh dijangka dan jumlah penyokong yang semakin berkurangan.
“Pengadil tidak konsisten, malahan walaupun ada VAR, tetap timbul isu. Liga dimonopoli pasukan tertentu, yang membuatkan penyokong tawar hati,” kata Sadek.
Justeru, Sadek menggesa MFL, Persatuan Bolasepak Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan untuk menangani masalah-masalah ini sebelum Liga Malaysia hancur sepenuhnya.