Jangan pandang kehadiran ramai pemain warisan di dalam pasukan kebangsaan, dari perspektif negatif. Sebaliknya berikan sokongan penuh kerana ia adalah satu proses yang tepat untuk meningkatkan prestasi Harimau Malaya.
Itu pandangan disuarakan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, yang menganggap pengambilan pemain warisan mencerminkan usaha serius untuk memastikan revolusi Harimau Malaya yang dicanang bukan sekadar omong.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend memberitahu proses mendapatkan kerakyatan bagi beberapa pemain warisan tiga pemain berdarah Belanda sudah berada di fasa akhir.
Ini meningkatkan keterujaan dalam kalangan penyokong, sehingga ramai mula meneka, membuat spekulasi dan andaian sendiri selain memetik nama-nama pemain tertentu antaranya Ferdy Druijf, Dylan Van Wageningen dan Sem Schepermen.
Baca Juga: “Tidak Boleh Lari Dari Guna Pemain Warisan, Naturalisasi
Bagi Jamal Nasir, beliau tidak berapa berkenan dengan cara tersebut dan mahu penyokong bersabar menunggu pengumuman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Antara sebabnya, beliau tidak mahu episod kapten Burnley, Josh Brownhill serta pemain Newcastle United, Isaac Hayden membuat penafian mereka ada kaitan dengan Malaysia berulang sekali lagi yang sekaligus hanya akan memalukan nama dan imej negara.
“Seharusnya kita tidak terlalu beria-ria terhadap perkara yang belum pasti dan mencipta spekulasi. Biarlah pihak yang berwajib mengelolakan Harimau Malaya ini membuat kenyataan.
“Tak payah dengar khabar angin sehingga ada yang menyerang media sosial pemain-pemain warisan tersebut minta untuk datang ke Malaysia.
“Ia bukan satu tindakan yang bagus terutama sekiranya perkara tersebut tidak betul sehingga boleh memberikan imej buruk kepada negara,” katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam pada itu, bagi pemain tengah skuad Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba, dia bersetuju Rob Friend meletakkan sasaran tinggi mahu membawa Malaysia ke Piala Dunia dan bersedia menyahut cabaran.
“Kita kena letak sasaran yang paling tinggi dan paling jauh yang kita boleh. Tetapi, kita tengok apa yang terdekat dulu dengan kita sekarang. Jadi, kita capai apa yang terdekat dan selepas itu tengok serta teruskan jalan itu untuk kita pergi sejauh yang boleh,” ujarnya.