Susulan pembatalan tiga keputusan perlawanan membabitkan pasukan bolasepak kebangsaan yang menyaksikan pasukan lawan diberikan kemenangan percuma 3-0, ranking dijangka akan menjunam teruk.
Dua kemenangan, masing-masing ke atas Singapura dan Palestin serta keputusan seri menentang Cape Verde dibatalkan FIFA, gara-gara menurunkan pemain yang tidak layak beraksi.
Malaysia ketika ini menghuni ranking ke-116 dunia dengan 1168.41 mata selepas mengharungi tahun 2025 cemerlang tanpa sebarang kekalahan namun keputusan terbaru ini akan menyaksikan perubahan besar.
Laman sesawang yang mengendalikan kedudukan ranking secara langsung, footyrankings menjangkakan skuad bimbingan Peter Cklamovski akan terkeluar daripada kelompok 120 dunia berikutan hilang mata ranking FIFA.
“Susulan keputusan ini, berdasarkan perkiraan kami, mata ranking FIFA Malaysia akan ditolak sebanyak kira kira 22.95 mata.
“Ini menyebabkan Malaysia akan turun ke ranking ke-122 dunia namun kedudukan ranking akan dikemaskini secara rasmi, esok (19 Disember),” menurut laman sesawang itu.
Malaysia memulakan tahun 2025 dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal, disusuli seri 1-1 dengan Cape Verde, menewaskan Vietnam 4-0, menewaskan Singapura 2-1, menewaskan Palestin 1-0, menewaskan Laos 3-0 dan 5-1 sebelum menutup tirai dengan satu lagi kemenangan ke atas Nepal.
Walaupun setakat ini hanya tiga daripada keputusan tersebut dibatalkan, ia sebenarnya berpotensi untuk bertambah buruk sekiranya kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam turut dibatalkan. Ia akan sekaligus menjejaskan peluang layak ke Piala Asia 2027.
Skuad negara menerima hukuman ini atas kesalahan menurunkan tujuh pemain warisan yang diragui keaslian kerakyatan mereka, malah didakwa ada berlakunya pemalsuan dokumen oleh FAM untuk membenarkan mereka beraksi.
Tujuh pemain itu ialah Jon Irazabal, Facundo Garces, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Joao Figueireido, Gabriel Palmero dan Hector Hevel.



