HomeNostalgiaRetro: Tragedi Jakarta 1997, Skuad Kebangsaan Dibubar

Retro: Tragedi Jakarta 1997, Skuad Kebangsaan Dibubar

Andainya Manila 1991 amat menyakitkan, Singapura 1993 mengecewakan, dan Chiang Mai 1995 pula membawa keaiban, tragedi Oktober di Jakarta 1997 pula menghadirkan ibu segala malapetaka.

Malang menimpa skuad bolasepak negara di Sukan SEA Jakarta 1997 antara detik hitam dalam sejarah bolasepak tanah air.

Malaysia ketika itu dibimbing Wan Jamak Wan Hassan dan dibarisi ramai pemain berprofil tinggi. Antaranya termasuklah Khairul Azman, Azmin Azram, K.Sanbagamaran, Idris Karim, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan dan Azmi Mohamed.

Baca juga: Annuar Musa, Pemacu Kelantan ke Puncak Kemasyhuran

Membawa reputasi sebagai finalis Piala Tiger (kini Piala AFF) edisi sulung, harapan tinggi diletakkan untuk pasukan ini menamatkan kemarau 8 tahun pingat emas Sukan SEA.

Semuanya tampak lancar dengan dua kemenangan dalam dua perlawanan pertama menewaskan Vietnam dan Filipina.

Malaysia bagaimanapun tampil longlai dalam aksi ketiga ketika mengalami kekalahan besar 0-4 kepada tuan rumah Indonesia. Perlawanan yang disaksikan 70,000 penyokong di Arena Sendayan.

Kalau diikutkan, Malaysia tidaklah terkesan dan berpeluang cerah melangkah ke separuh akhir di sebalik kekalahan itu. Asalkan menang pada aksi terakhir menentang skuad kerdil Laos, yang sepatutnya bukan masalah besar.

Aib Menimpa, Arang Diconteng

Namun, tanggal 14 Oktober 1997, aib menimpa, arang diconteng ke muka. Malaysia tewas mengejut 0-1 kepada Laos yang dibarisi rata-ratanya pemain amatur kurang pengalaman di pentas antarabangsa.

Jentera serangan diketuai Azman Adnan, ibarat mati kutu. Skuad negara tidak dapat mencari ruang menembusi pertahanan Laos yang memilih berkampung di kawasan sendiri.

Rizal Sukiman, Che Zambil Ahmad, Anuar Jusoh dan Zainal Abidin turut mensesiakan beberapa peluang terhidang.

Setelah bertahan memastikan kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga ke penghujung aksi, Laos mendapat gol pada minit ke-89 melalui sepakan jarak jauh dari luar kotak penalti Keolakhone Channiphone.

Percubaan tersebut pada awalnya dilihat tidak berbahaya, namun dengan Khairul Azman sudah sedikit terkeluar dari posisi, dia hanya dapat menampan tatkala bola tetap menerjah jaring.

Laporan media menulis bahawa itulah yang sewajarnya Malaysia terima atas aksi bersahaja dan tidak menyengat yang diterjemahkan di atas padang.

Jakarta 1997, Malapetaka Bolasepak Negara

Vietnam yang menewaskan Filipina menyambar tempat kedua Kumpulan B, menyingkirkan Malaysia di peringkat kumpulan buat kali keempat berturut-turut.

Malah lebih memalukan, Laos menamatkan saingan di kedudukan ketiga kumpulan, memintas Malaysia menerusi perbezaan jaringan.

‘Tragedi Oktober’ itu tercatat sebagai malapetaka buat arena bolasepak negara selepas peristiwa dimalukan oleh Filipina di Sukan SEA 1991.

Kepulangan skuad negara ke tanah air dicemuh oleh para peminat dan media, dengan satu negara menghamburkan kemarahan kepada mereka ketika itu.

Ini membawa kepada perletakan jawatan Wan Jamak sebagai jurulatih setelah setahun sebelumnya membawa Malaysia muncul naib juara Piala Tiger 1996.

FAM yang menerima kecaman penyokong pula mengambil langkah drastik membubar dan menggantung skuad kebangsaan daripada menyertai sebarang kejohanan buat beberapa ketika.

Senarai lengkap pemain Jakarta 1997:

Penjaga gol: Khairul Azman, Azmin Azram

Pertahanan: B.Rajnikandh, Khairul Anuar Baharon, Rizal Sukiman, Khairil Zainal, Azmil Azali

Tengah: Idris Karim, Anuar Jusoh, K.Sanbagamaran, Jaya Kassim, Che Zambil Ahmad, Yap Wai Loon

Penyerang: Azman Adnan, Zainal Abidin Hassan, Suharmin Yusoff, Azmi Mohamed, Zami Mohd Nor

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!