Tersilap mencatur taktik yang makan diri, begitulah boleh disimpulkan terhadap nasib menimpa pasukan Kosovo gara-gara tindakan keluar meninggalkan padang ketika menentang Romania dalam aksi Nations League pada minggu lalu.
Ini kerana UEFA memutuskan Kosovo bersalah untuk tidak meneruskan perlawanan dan memberikan kemenangan 3-0 kepada Romania.
Menyoroti apa yang terjadi, sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan berada di kedudukan 1-2 dan bersaing sengit untuk menentukan kedudukan juara kumpulan.
Romania berkelebihan tiga mata, justeru Kosovo wajib menang aksi ini untuk berpeluang muncul juara kumpulan. Juara kumpulan akan layak beraksi di Kumpulan B.
Lebih 90 minit berlalu, tinggal hanya masa kecederaan untuk diharungi, dengan masing-masing masih terikat tanpa jaringan.
Ya, kedua-dua pasukan sudah bermain lebih 90 minit dah pun, tunggu beberapa ketika sahaja untuk wisel penamat ditiup. Secara tiba-tiba pemain-pemain Kosovo melangkah meninggalkan padang, enggan meneruskan permainan.
Baca juga: Mengenang Sensasi Juan Roman Riquelme
Ia dikatakan berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab dan provokasi melampau penyokong Romania yang menujukan chant ‘Kosovo adalah Serbia’ serta ‘Serbia Serbia’ sepanjang perlawanan selain melaungkan chant berunsur perkauman dan tidak menghormati nyanyian lagu kebangsaan.
Mereka juga kecewa dengan kawalan keselamatan Romania yang lemah sambil menyatakan mereka sudah berkali-kali mengingatkan UEFA bahawa provokasi seperti ini akan berlaku mengambil kira insiden sama terjadi ketika mereka bertemu pada September lalu.
Tak Masuk Akal, Kenapa Kosovo Tunggu 90 Minit?
Kesemua dakwaan dinafikan Romania, dengan menganggap ia sebagai tidak masuk akal dan tidak berasas. Mereka menegaskan, jika benar semua itu ada berlaku, Kosovo tidak perlu menunggu sehingga minit ke-90 lebih untuk meninggalkan padang.
Romania berhujah bahawa ia tindakan yang sudah dirancang awal oleh Kosovo untuk berbuat demikian, sekiranya keputusan tidak berpihak kepada mereka.
Mereka mendakwa lawan mereka itu sengaja mengambil kesempatan atas perselisihan diplomatik kedua-dua negara untuk memerangkap Romania demi meraih ehsan UEFA, seterusnya cuba untuk mendapatkan kemenangan percuma dengan dengan cara kotor.
Setelah hampir lima hari menangguhkan perlawanan, UEFA akhirnya memutuskan Romania diberi kemenangan 3-0 tetapi turut didenda €128,000 atas beberapa salahlaku, termasuklah diskriminasi penyokong.
Kosovo juga tidak terlepas dari dihukum apabila didenda €6,000 atas tindakan tindakan wajar mereka meninggalkan padang.
Untuk makluman, Kosovo dahulunya merupakan sebahagian daripada Serbia dan diisytihar merdeka pada 2008. Bagaimanapun kemerdekaan mereka tidak diiktiraf beberapa negara termasuklah Romania.